Jumaat, 17 Julai 2020 | 11:33am
Datuk Hazimah Zainuddin menyerahkan tugas kepada Pengerusi baharu PUNB, Tan Sri Noh Omar pada majlis serah tugas dan sambutan ulang tahun PUNB ke-29. NSTP/Saifullizan Tamadi
Datuk Hazimah Zainuddin menyerahkan tugas kepada Pengerusi baharu PUNB, Tan Sri Noh Omar pada majlis serah tugas dan sambutan ulang tahun PUNB ke-29. NSTP/Saifullizan Tamadi

Noh Omar dilantik Pengerusi baharu PUNB

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) mengumumkan pelantikan Tan Sri Noh Omar sebagai Pengerusi yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Beliau yang juga anggota Parlimen Tanjong Karang menggantikan Datuk Hazimah Zainuddin yang menamatkan perkhidmatannya semalam.

Noh yang juga graduan lulusan undang-undang pernah berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dari 2008 hingga 2009.

Beliau kemudiannya dilantik menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dari 2009 hingga 2013.

Selain itu, Noh juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari 2016 sehingga 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin, berkata pelantikan Noh sebagai pengerusi baharu menjadi sebahagian daripada peristiwa penting buat PUNB yang turut menyambut ulang tahun penubuhannya ke-29.

"Kepakaran dan pengalaman luas Noh sewaktu menjawat jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi diharap dapat membantu memacu kecemerlangan sekali gus memantapkan kedudukan PUNB sebagai pusat pembangunan keusahawanan Bumiputera terulung di negara ini.

"Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan dan warga kerja PUNB mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Hazimah atas sumbangan serta komitmen yang telah diberikan sepanjang berkhidmat sebagai Pengerusi PUNB," katanya.

Satu majlis serah terima tugas Pengerusi PUNB dan sambutan ulang tahun ke-29 dianjurkan bagi meraikan pelantikan Noh dan serah tugas okeh Hazimah.

Noh dalam ucapannya berkata, sebagai pusat pembangunan keusahawan, PUNB harus memainkan peranannya membantu usahawan bangkit semula di tengah-tengah krisis kesihatan yang dicetuskan COVID-19.

"Kita perlu memastikan peruntukan yang diterima disalurkan kepada mereka yang layak dan memerlukan sekali gus membantu kerajaan melonjak graf ekonomi negara," katanya

Berita Harian X