Selasa, 14 Julai 2020 | 1:23pm
Moody's Investors Service
Moody's Investors Service

Kualiti aset bank Malaysia antara terbaik serantau

KUALA LUMPUR: Bank-bank Malaysia, Singapura dan Filipina mempunyai kualiti aset terbaik dalam kalangan rakan serantau, dengan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) di bawah dua peratus, kata Moody's Investors Service.

Dalam satu laporan bertajuk, 'Banks in Asean and India face increasing headwinds amid the pandemic', Moody's berkata situasi ekonomi dan kredit yang mencabar disebabkan COVID-19 akan membebani kualiti aset dan keuntungan bank ASEAN dan India.

Katanya, bank akan berdepan pinjaman bermasalah yang lebih tinggi dan keuntungan yang lebih rendah, namun kebanyakannya mempunyai modal secukupnya untuk menahan risiko kredit yang lebih tinggi.

Naib Presiden dan Pegawai Kanan Kredit Moody's, Eugene Tarzimanov, berkata di penurunan penarafan bank di ASEAN dan India pada 2020 telah didorong oleh bank India, berikutan penurunan penarafan berdaulatnya bulan lalu.

"Majoriti bank di wilayah ini berada pada posisi yang baik walaupun terdapat tinjauan prospek negatif yang lebih tinggi untuk penilaian bank," katanya.

Moody's menjangkakan kualiti aset dan keuntungan akan merosot dari paras yang baik pada 2019 di kebanyakan sistem perbankan.

Katanya, walaupun langkah sokongan kerajaan akan mengimbangi sebahagian daripada tekanan ke atas bank, ia tidak sepenuhnya dapat menghilangkan kesan negatif.

Namun, Moody's berkata, di sebalik tinjauan yang mencabar, majoriti bank mempunyai modal secukupnya, manakala dana serta kecairannya akan tetap kukuh dan stabil pada 2020 hingga 2021.

Katanya, sebagai contoh, pengawal selia di India, Thailand dan Vietnam telah mengehadkan dividen, kredit positif bagi bank, manakala bank besar akan terus mendapat keuntungan dari aliran masuk deposit kerana mereka dilihat sebagai tempat selamat ketika ini.

Sementara itu, Moody's menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kebanyakan ekonomi ASEAN dan India akan menguncup pada 2020 dan beransur pulih pada 2021.

Kelonggaran kawalan dan penyambungan semula aktiviti ekonomi, katanya akan menjadi faktor utama yang menyokong pemulihan.

Berita Harian X