Khamis, 9 Julai 2020 | 9:33pm

IQOS dapat lampu hijau FDA

KUALA LUMPUR: Philip Morris International Inc (PMI) mendapat lampu hijau dalam pemasaran produk rokok elektroniknya, IQOS daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS).

Ini selepas FDA menyatakan produk IQOS dapat mengurangkan pendedahan terhadap bahan kimia berbahaya yang terdapat dalam rokok kepada pengguna.

IQOS mempunyai fungsi memanaskan tembakau daripada membakarnya, suatu proses yang dilihat kurang berbahaya daripada menghisap rokok konvensional.

FDA tahun lalu membenarkan IQOS, iaitu alat elektronik yang menggunakan palam tembakau dijual di AS selepas mengkaji semula aplikasi produk yang diubah suai Philip Morris.

Philip Morris (Malaysia) Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, FDA menyimpulkan bahawa bukti saintifik dengan mengambil kira pengguna produk tembakau dan individu yang tidak menggunakan produk tembakau pada masa ini

"Keputusan FDA seterusnya membina konsensus saintifik antarabangsa bahawa IQOS adalah lebih baik daripada terus merokok, dan mengikuti keputusan FDA pada April 2019 membenarkan pengkomersilan IQOS di AS.

"Keputusan FDA memberikan contoh penting bagaimana kerajaan dan organisasi kesihatan awam boleh mengatur alternatif bebas asap untuk membezakannya daripada rokok," katanya.

Pengarah Urusan Philip Morris Malaysia, Naeem Shahab Khan, berkata pihaknya menyambut baik keputusan FDA untuk membenarkan pemasaran sistem IQOS di AS sebagai produk tembakau berisiko yang diubah suai.

Beliau berkata, keputusan ini mengesahkan bahawa IQOS adalah berbeza dengan rokok konvensional.

Berita Harian X