Selasa, 16 Jun 2020 | 6:24pm

Key ASIC, UCrest peroleh kontrak bekal teknologi IoMT

KUALA LUMPUR: Pengeluar cip Internet Pelbagai Perkara (IoT), Key ASIC Bhd (Key ASIC) dan penyedia platform kesihatan digital dalam talian, UCrest Bhd telah memperoleh perjanjian untuk menyediakan teknologi Internet Pelbagai Perkara berkaitan Perubatan (IoMT) kepada sektor perubatan.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, syarikat itu berkata MCard produk Key ASIC dan iMedic produk UCrest akan digabungkan dengan ventilator yang dihasilkan oleh BMC Medical.

MCard adalah kad digital selamat yang membolehkan sebarang peranti atau peralatan disambungkan ke internet, manakala iMedic adalah hospital dalam talian terkemuka menyediakan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) berasaskan teknologi awan.

Pengasas dan Pengerusi Key ASIC dan UCrest, Eg Kah Yee, berkata teknologi itu akan mengurangkan risiko jangkitan bagi petugas kesihatan barisan hadapan kerana ia membolehkan doktor mengakses data pesakit yang telah dimuat naik ke iMedic menerusi ventilator yang dilengkapi dengan IoMT, ia membolehkan mereka menguruskan pesakit dari jarak jauh.

"Ia membolehkan BMC Medical mengurus dan menyokong rakan niaganya dengan berkesan dalam waktu yang singkat," katanya.

Syarikat itu menjangkakan untuk memperoleh lebih banyak perjanjian MCard dan iMedic dengan pelbagai peranti perubatan dalam masa terdekat ini dan membolehkan jutaan pesakit mendapatkan perkhidmatan perubatan dalam talian. -BERNAMA

Berita Harian X