Khamis, 11 Jun 2020 | 12:43pm
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

Indeks pengeluaran perindustrian April menguncup

PUTRAJAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) menguncup 32.0 peratus pada April 2020 berikutan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kemerosotan IPP pada April 2020 disebabkan oleh penurunan ketara dalam semua indeks dengan indeks pembuatan (-37.2 peratus), indeks perlombongan (-19.6 peratus) dan indeks

elektrik (-19.2 peratus).

Beliau berkata, output sektor pembuatan pada April 2020 menguncup 37.2 peratus berdasarkan pertumbuhan tahun ke tahun selepas mencatatkan penurunan 4.1 peratus pada Mac 2020.

Katanya, subsektor utama yang mendorong kepada kejatuhan dalam sektor pembuatan pada April 2020 adalah produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (-62.7 peratus), produk peralatan elektrik dan elektronik (-34.1 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (-21.4 peratus).

"Penurunan ketara indeks pembuatan pada April 2020 adalah disumbangkan oleh industri perkhidmatan bukan keperluan utama dan kapasiti penggunaan kilang yang rendah di bawah paras 50 peratus," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Mohd Uzir berkata, kemerosotan sektor pembuatan terutama disumbangkan oleh industri berorientasikan eksport.

Beliau berkata, output sektor perlombongan menguncup 19.6 peratus pada April 2020 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Katanya, kemerosotan itu adalah disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah dan kondensat (-20.2 peratus) dan indeks gas asli (-19.0 peratus).

Mohd Uzir berkata, pihaknya menjangkakan sektor pembuatan pengeluaran dan jualan akan lebih baik pada Mei 2020 susulan langkah kerajaan membuka semula ekonomi.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X