Selasa, 12 Mei 2020 | 11:02am
Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV)
Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV)

MDV sasar bantu 60 syarikat pemula teknologi

KUALA LUMPUR: Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) menyasar untuk menyalurkan dana berjumlah RM100 juta kepada 40 hingga 60 syarikat pemula teknologi menerusi program 'Technology Start-Ups Funding Relief Facility' (TSFRF).

Permohonan bagi fasa pertama dana TSFRF yang diumumkan minggu lalu bermula 18 hingga 31 Mei 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri, berkata permohonan akan dibuka secara berperingkat sehingga keseluruhan dana dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau berkata, sebagai pembiaya teknologi di negara ini, MDV bersama-sama memikul tanggungjawab dalam merangsang ekonomi melalui langkah yang menyokong keperluan operasi dan kewangan perniagaan.

Program pembiayaan TSFRF ini, katanya, ditawarkan dalam bentuk modal kerja dan pembangunan perniagaan, dengan matlamat menyediakan bantuan aliran tunai segera, berpatutan dan bersasar.

"Ia khusus untuk syarikat teknologi peringkat permulaan yang disokong oleh syarikat modal teroka atau agensi kerajaan yang terjejas ketika ini," katanya dalam satu kenyataan.

Nizam berkata, program TSFRF bertujuan menangani masalah kekangan kecairan yang dihadapi oleh syarikat teknologi peringkat permulaan dalam situasi semasa dengan menawarkan kemudahan modal kerja bagi mengurangkan isu aliran tunai pada masa hadapan.

"Ia juga bertujuan untuk memendekkan tempoh penerimaan dana, melalui proses permohonan yang lebih ringkas, proses ketekunan wajar atau 'due diligence' dan penilaian kredit lebih cepat, keperluan dokumen yang tidak rumit serta proses pembayaran yang mudah

dan cepat.

"Selain itu, pemohon juga tidak perlu membayar apa-apa yuran atau kos tambahan yang lain bagi program pembiayaan ini," katanya.

Nizam berkata, apa yang menarik, dana pembiayaan MDV itu tidak memerlukan cagaran selain daripada jaminan peribadi dan debentur yang juga sebahagian daripada langkah pengurangan risiko syarikat.

Beliau menjelaskan, sama seperti kemudahan kredit pusingan, di bawah program pembiayaan TSFRF ini, pengeluaran boleh dipohon mengikut permintaan atau berdasarkan keperluan aliran tunai bergulir selama enam bulan bagi setiap pemohon.

Baki prinsipal tertunggak, katanya, boleh dibawa ke enam bulan berikutnya, sekali gus memberikan fleksibiliti dalam menguruskan pembayaran balik.

"Ini bermaksud, setiap pemohon mempunyai pilihan untuk membayar faedah pembiayaan, sementara pembayaran balik amaun prinsipal boleh dibawa ke enam bulan berikutnya dan seterusnya sehingga tempoh tamat kemudahan pembiayaan terbabit," katanya.

Berita Harian X