Sabtu, 9 Mei 2020 | 9:20pm
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)

COVID-19: Menteri perdagangan APEC komited kurangkan impak ekonomi

KUALA LUMPUR: Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menggesa negara pakatan ekonomi mempercepatkan tindakan memerangi COVID-19.

Di samping itu, MRT turut menggesa langkah perlu untuk memulihkan impak kesihatan dan ekonomi akibat pandemik itu.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang menerajui proses pembangunan secara bersama dalam kalangan 21 kumpulan negara anggota berkata, menteri perdagangan APEC telah menggariskan kepentingan memastikan persekitaran perdagangan dan pelaburan yang bebas, adil, tidak berdiskriminasi, telus, dapat diramal dan stabil untuk melindungi ekonomi rantau ini.

Menteri-menteri perdagangan itu juga menggesa ekonomi untuk memastikan rantaian bekalan global dan hubungan perdagangan terus dibuka untuk mengurangkan impak COVID-19 dalam kehidupan rakyat.

"Mereka turut menzahirkan kebimbangan mengenai impak COVID-19 terhadap ekonomi membangun yang mudah terjejas dan mengakui keperluan melaksanakan beberapa langkah kecemasan untuk menangani cabaran krisis itu dengan berkesan.

"Mereka bersepakat bahawa terdapat keperluan untuk memberi penekanan khusus bagi menyediakan akses perkhidmatan penjagaan kesihatan utama yang mampu milik dan tepat pada masanya, khususnya kepada anggota masyarakat yang mudah terjejas kepada pandemik ini," menurut MITI dalam kenyataan hari ini.

Gesaan menteri-menteri perdagangan APEC itu adalah bukti jelas mengenai komitmen bersama rantau ini dalam memberikan reaksi tegas terhadap pandemik itu di samping mengemudi Asia Pasifik ke arah pemulihan ekonomi.

"Menteri-menteri berkenaan juga menggesa negara anggota untuk bertindak segera dan menyediakan langkah bagi memastikan pasaran terbuka serta aliran barangan keperluan, perkhidmatan dan rakyat yang kekal tidak terganggu.

"Mereka juga mengakui bahawa ekosistem ekonomi digital menyediakan peluang dalam mengurangkan impak buruk pandemik itu dan menurut mereka, dengan memanfaatkan potensi teknologi digital, negara-negara itu dapat memajukan pertumbuhan ekonomi yang mampan di rantau ini," katanya.

Malaysia menjadi tuan rumah APEC 2020 dan MITI adalah Sekretariat Nasional sidang kemuncak itu.

Ketika ini, semua program APEC pada tahun ini termasuk mesyuarat MRT yang dijadualkan pada April telah ditangguhkan sehingga diberitahu kelak berikutan pandemik itu.

-BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X