Jumaat, 8 Mei 2020 | 1:23pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto BERNAMA
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto BERNAMA

Peminjam perlu nyata persetujuan ambil moratorium

PUTRAJAYA: Peminjam masih perlu menyatakan persetujuan menyertai moratorium walaupun bank sudah bersetuju untuk tidak mengenakan caj tambahan ke atas bayaran ansuran perjanjian sewa beli konvensional dan syariah.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata mengikut Akta Sewa Beli 1967 dan undang-undang dari segi syariah, semua peminjam perlu memberikan kebenaran kepada bank.

"Jadi, ini adalah proses yang masih perlu dilakukan. Sebagai contoh, caranya sebenarnya mudah sahaja, bank akan menghantar pesanan SMS atau emel kepada peminjam.

"Peminjam hanya perlu membalas ya atau tidak dan selepas itu moratorium itu akan terus berjalan. Ini adalah mengikut undang-undang kerana ia bertujuan untuk melindungi pengguna yang mana kebenaran adalah diperlukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), hari ini.

Rabu lalu, Tengku Zafrul mengumumkan bahawa semua bank kini bersetuju untuk tidak mengenakan caj tambahan ke atas bayaran ansuran perjanjian sewa beli konvensional dan syariah, sepanjang tempoh moratorium.

Ia membabitkan caj tambahan yang merangkumi kadar faedah terakru serta yuran dan penalti lewat bayar.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X