Isnin, 20 April 2020 | 7:02pm
 Gambar hiasan: Pengguna membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya. - Foto Bernama
Gambar hiasan: Pengguna membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya. - Foto Bernama

RAM Ratings unjur inflasi sifar tahun ini

KUALA LUMPUR: RAM Ratings menyemak semula unjuran keseluruhan inflasi bagi 2020 kepada 0.0 peratus daripada 0.7 peratus.

Ia terutamanya disebabkan harga minyak rendah, diskaun bil elektrik isi rumah dan penurunan permintaan.

Meskipun inflasi kekal stabil pada 1.5 peratus pada Januari-Februari, ia dijangka mencatat -0.2 peratus pada Mac.

“Pada masa hadapan, kami mengunjurkan trend deflasi pada suku kedua dan ketiga tahun ini. Pencetus utama semakan semula menurun ini adalah jangkaan kelemahan berterusan harga minyak di tengah-tengah lebihan bekalan dunia,” kata RAM Ratings dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Meskipun perjanjian yang diterajui Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk mengurangkan pengeluaran minyak yang menjadi jumlah terbesar dalam sejarah, langkah itu masih tidak mencukupi untuk mengimbang penurunan permintaan di tengah-tengah penularan mengganas pandemik COVID-19 di seluruh dunia.

Sementara itu, Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat menjangka permintaan minyak global merosot pada 2020, lebih teruk berbanding 1.0 peratus semasa krisis kewangan global pada 2009.

“Justeru, kami mengurangkan andaian harga purata kami bagi minyak mentah Brent kepada antara AS$35 dan AS$40 pada 2020. Ini dianggarkan menurunkan inflasi tahun penuh sebanyak kira-kira 0.4 mata peratusan,” kata RAM Ratings.

Faktor lain yang menyebabkan penurunan semakan semula dalam unjuran keseluruhan inflasi oleh RAM Ratings adalah diskaun besar tarif elektrik bagi isi rumah, seperti yang diumumkan di bawah pakej rangsangan kerajaan baru-baru ini.

Isi rumah akan mendapat diskaun selama enam bulan (April-September) daripada 2.0 peratus hingga 50 peratus, bergantung kepada penggunaan elektrik mereka.

“Memandangkan 2.7 peratus wajaran elektrik dalam keseluruhan kumpulan Indeks Harga Pengguna, inisiatif ini dijangka menurunkan inflasi sebanyak 0.2 mata peratusan lagi,” kata RAM Ratings. - Bernama

Berita Harian X