Khamis, 16 April 2020 | 4:34pm

Usaha wujud pasaran modal mudah diakses syarikat - Pengerusi SC

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan mempergiat usaha mewujudkan pasaran modal domestik yang mudah diakses, cekap dan bertanggungjawab terutamanya ketika negara terus berhadapan dengan persekitaran luaran yang mencabar di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang sederhana.

Ini termasuk inisiatif untuk memperluas akses pembiayaan bagi penerbit yang kurang diberi perhatian, memberi tumpuan kepada syarikat peringkat pertengahan tidak tersenarai dan memudahcara penerbitan hutang oleh penerima pelaburan dana ekuiti swasta dan modal teroka, kata pengerusinya Datuk Syed Zaid Albar.

“Tahun 2020 menandakan satu pencapaian ekonomi yang penting bagi Malaysia. Pasaran modal yang maju dan cekap adalah penting dalam memenuhi objektif pembangunan ekonomi sesebuah negara, ” katanya dalam Perutusan Pengerusi Laporan Tahunan 2019 Suruhanjaya Sekuriti yang dikeluarkan hari ini.

Untuk ini, SC juga akan memperluaskan rangkaian peluang pengumpulan dana dan pelaburan alternatif, dengan tahap kematangan yang lebih tinggi dalam ekosistem pasaran digital.

“Kami akan terus memudahcara pembangunan dalam aset digital baharu seperti tawaran awal bursa (IEO), dan memperkukuh segmen pendanaan ekuiti ramai (ECF), pembiayaan antara rakan setara (P2P) dan Pengurus Pelaburan Digital (DIM) yang sedia ada, termasuk memperkenalkan penyelesaian Islam yang lebih inovatif,” katanya.

Usaha untuk mengembangkan ekosistem pasaran digital akan dilengkapi oleh pelaburan sedia ada bagi memperkukuh keupayaan SC sendiri, terutamanya kepakaran dalam menyelia model perniagaan digital dan kelas aset serta penggunaan analitik yang lebih besar bagi memastikan ia kekal efektif dalam pasaran yang semakin didorong oleh teknologi.

“Kami juga sedar akan persaingan yang semakin meningkat di peringkat antarabangsa dalam pasaran modal Islam, yang memerlukan SC memperbaharui tumpuannya untuk memajukan lagi segmen ini,” tambah beliau.

Syed Zaid berkata penekanan yang sama akan diberikan kepada pelaksanaan Pelan Hala Tuju SRI, bagi memastikan bidang bersinergi akan menjadi sumber kelebihan daya saing bagi pasaran modal.

Khususnya, kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) akan dimasukkan dalam kaedah penyaringan Syariah bagi PLC.

Objektifnya adalah untuk menggalakkan pewujudan indeks dan dana berkaitan ESG untuk menyediakan kepelbagaian pilihan pelaburan.

Kriteria penyaringan ESG juga merupakan langkah pertama yang penting untuk menggalakkan PLC mengguna pakai amalan perniagaan yang lebih mampan, katanya.

“Akhir sekali, setelah menubuhkan Jawatankuasa Pencegahan Rasuah dan membangunkan Pelan Pencegahan Rasuah Organisasi, SC akan terus meningkatkan standard tadbir urus dan kebertanggungjawaban kami bagi memastikan institusi ini terus beroperasi dengan integriti dan kebebasan,” katanya.

Mengimbas kembali, pasaran modal terus menyalurkan pembiayaan kepada ekonomi Malaysia pada 2019, dengan sejumlah RM139.4 bilion dikumpulkan melalui ekuiti, bon dan sukuk (2018: RM114.6 bilion).

Bilangan tawaran awam awal di Pasaran Utama, ACE dan LEAP juga meningkat kepada 30, walaupun jumlah terbitan ekuiti susut kepada RM6.6 bilion (2018: RM9.2 bilion).

Penerbitan mampan membolehkan pasaran modal berkembang sebanyak tiga peratus kepada RM3.2 trilion pada 2019, dengan bon dan sukuk belum tebus menyumbang sebanyak RM1.5 trilion dan selebihnya sebanyak RM1.7 trilion adalah daripada permodalan pasaran ekuiti.

Industri pengurusan dana kekal sebagai sumber mudah tunai yang penting, dengan jumlah aset bawah pengurusan meningkat kepada RM823.2 bilion pada 2019 (2018: RM743.6 bilion).

Peningkatan sebanyak 11 peratus itu didorong oleh keuntungan penilaian dalam ekuiti permodalan kecil dan sederhana serta suntikan bersih yang lebih tinggi daripada pelaburan semula dividen, dan mencatat lonjakan yang diharapkan daripada penguncupan sebanyak -4 peratus pada 2018.

Pada 2019, pasaran bon dan sukuk mencatatkan jumlah aliran masuk portfolio bukan pemastautin sebanyak RM19.9 bilion manakala pasaran ekuiti menyaksikan aliran keluar sebanyak -RM11.1 bilion. Ini menjadikan jumlah terkumpul aliran masuk bersih ke dalam pasaran modal adalah sebanyak RM8.7 bilion, berbanding aliran keluar bersih sebanyak -RM33.6 bilion pada tahun sebelumnya, katanya. - Bernama

Berita Harian X