Isnin, 6 April 2020 | 8:19pm
Sektor pertanian pastikan bekalan dalam negara cukup ketika krisis melanda - Foto BERNAMA
Sektor pertanian pastikan bekalan dalam negara cukup ketika krisis melanda - Foto BERNAMA

Beri tumpuan usahawan sektor pertanian - MTEM

KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyarankan kerajaan memberi perhatian kepada sektor pertanian termasuk penyaluran modal untuk pembelian benih menerusi langkah tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN TAMBAHAN).

MTEM dalam satu kenyataan berkata, ini kerana sektor itu cukup strategik dan penting untuk bekalan makanan ketika beberapa negara luar menghentikan eksport makanan termasuk padi.

“Negara seperti Vietnam sudah menghentikan eksport padi. Ada kemungkinan negara lain yang akan menyusul, selain faktor cuaca kemarau juga akan kurangkan pengeluaran makanan sedunia.

“Jadi, perhatian perlu diberi pada sektor pertanian untuk memastikan bekalan dalam negara cukup ketika krisis melanda negara,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pakej yang diumumkan kerajaan, MTEM menjelaskan geran berjumlah RM3,000 untuk dimanfaatkan hampir 700,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro dapat membantu peniaga kecil yang terjejas akibat COVID-19.

“Selain itu, tindakan mengurangkan faedah pinjaman mikro menerusi pakej yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tindakan yang tepat,” katanya.

MTEM berkata, subsidi upah yang dinaikkan daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion, iaitu tambahan sebanyak RM7.9 bilion dapat membantu PKS bertahan atau memulakan perniagaan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas lebih sebulan tidak beroperasi.

“MTEM juga berharap penyewa premis perniagaan swasta akan terima nasihat dan mengikut saranan kerajaan sebagai rakyat Malaysia yang ingin bersama membantu kerajaan menangani dengan wabak ini,” katanya.

Berita Harian X