Khamis, 2 April 2020 | 3:28pm
Moody's Investors Service
Moody's Investors Service

Keuntungan bank tempatan mungkin terjejas - Moody's

Risiko aset untuk bank tempatan dijangka meningkat, manakala keuntungan yang dicatatkan akan berkurangan di tengah-tengah kesuraman ekonomi dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang, demikian menurut Moody's Investors Service.

Bagaimanapun, firma penarafan itu menegaskan, rizab kerugian pinjaman dan permodalan bank tempatan akan menyediakan penampan terhadap risiko yang bertambah.

Dalam kenyataannya, ia berkata unjuran sistem perbankan Malaysia juga disemak semula kepada negatif daripada stabil.

“Keadaan ekonomi akan merosot. Malaysia sedang menghadapi pertumbuhan serantau dan perdagangan yang perlahan, ditambah dengan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak pertengahan Mac, yang mengganggu aktiviti ekonomi.

“Ini khususnya akan menjejaskan eksport elektronik dan pelancongan negara. Di samping itu, ketidakpastian politik akan menimbulkan sentimen dalam perniagaan dan pelabur.

“Risiko aset akan bertambah apabila keadaan ekonomi bertambah buruk. Kualiti aset bank di Malaysia akan merosot, didorong oleh masalah pinjaman kepada pengeluar yang berorientasikan eksport, dan syarikat dalam sektor rekreasi, pelancongan, perhotelan serta penerbangan kerana cabaran yang berpunca daripada gangguan berkaitan COVID-19.

“Moratorium selama enam bulan akan mengurangkan kesan kredit jangka pendek terhadap kualiti aset,” katanya.

Moody’s berkata, bank akan mengekalkan penyerapan kerugian yang kukuh, dan ini akan membantu mengurangkan risiko aset.

Permodalan akan stabil dan penjanaan modal dalaman bank akan menurun apabila keuntungan lemah.

Bagaimanapun, katanya pertumbuhan pinjaman yang lemah akan mengehadkan pengembangan aset berisiko bank, yang akan menyebabkan nisbah modal yang stabil.

“Pembiayaan dan kecairan akan tetap kukuh. Nisbah pinjaman kepada deposit akan stabil seperti pertumbuhan deposit dan pinjaman akan dipadankan secara meluas.

“Bank akan terus memegang kecairan yang mencukupi untuk menahan kejutan mudah tunai. Kos kredit yang lebih tinggi dan margin yang lebih rendah akan memberi tekanan kepada keuntungan.

“Kos kredit akan meningkat dari paras rendah sejajar dengan peningkatan risiko aset. Margin faedah bersih akan berkurangan disebabkan oleh dasar kewangan yang mudah dan pertumbuhan pinjaman yang lemah.

“Pada masa yang sama, pelaburan berterusan dalam transformasi digital akan memacu kos operasi,” katanya.

Berita Harian X