Rabu, 25 March 2020 | 10:41am
Bank Negara Malaysia. - NSTP/Nadirah Zakariya/Bloomberg
Bank Negara Malaysia. - NSTP/Nadirah Zakariya/Bloomberg

BNM umum langkah tangguh bayaran balik pinjaman isi rumah, PKS terjejas COVID-19

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan beberapa langkah kawal selia dan penyeliaan untuk menyokong usaha institusi perbankan bagi membantu individu, syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat korporat untuk menguruskan kesan wabak COVID-19.

Bank pusat berkata, langkah itu bagi membolehkan institusi perbankan terus memberi tumpuan kepada usaha menyokong ekonomi semasa dalam keadaan yang luar biasa dan luar jangkaan ketika ini, dengan memberikan kelonggaran kepada institusi perbankan untuk bertindak balas dengan pantas kepada keperluan pelanggan mereka.

Katanya, institusi perbankan berada dalam kedudukan yang baik untuk berbuat demikian, memandangkan penampan kewangan yang besar yang telah dibina selama bertahun-tahun.

BNM menjelaskan, bagi penangguhan dan penstrukturan semula kemudahan pinjaman/pembiayaan kepada individu dan PKS, institusi perbankan akan menawarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman/pembiayaan untuk tempoh enam bulan mulai 1 April 2020.

Katanya, tawaran itu adalah terpakai bagi melaksanakan pinjaman dalam denominasi ringgit, yang tidak ada tunggakan selama lebih 90 hari atau pada 1 April 2020.

Bagi kemudahan kad kredit pula, ia berkata, institusi perbankan akan menawarkan untuk menukar baki tertunggak kepada pinjaman berjangka selama tiga tahun dengan mengurangkan kadar faedah bagi membantu peminjam mengurus hutang mereka dengan lebih baik.

“Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa faedah/keuntungan akan terus terakru kepada pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang ditangguhkan dan peminjam perlu menghormati pembayaran balik yang ditangguhkan pada masa akan datang.

“Oleh itu, peminjam perlu memastikan bahawa mereka memahami dan berbincang dengan institusi perbankan mereka mengenai pilihan yang tersedia untuk meneruskan pembayaran balik mereka yang dijadualkan selepas tempoh penangguhan.

“Individu dan PKS yang tidak mahu atau perlu memanfaatkan kelonggaran ini boleh meneruskan struktur pembayaran balik mereka sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi pinjaman dan pembiayaan syarikat korporat pula, BNM berkata, institusi perbankan akan memudahkan permintaan oleh syarikat untuk menangguhkan atau menyusun semula pembayaran balik pinjaman/pembiayaan mereka dengan cara yang akan membolehkan perusahaan yang berdaya maju memelihara pekerjaan dan segera meneruskan kegiatan ekonomi apabila keadaan lebih baik.

Ia berkata, syarikat perlu mendekati institusi perbankan mereka untuk membincangkan pelan pembayaran balik dan penstrukturan semula kemudahan kredit.

Bank pusat juga menjelaskan, ia menyediakan kelonggaran masa yang sesuai bagi institusi perbankan untuk melaporkan kemudahan tertangguh/penstrukturan semula dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), dengan mengambil kira sifat sementara gangguan yang dihadapi oleh peminjam/pelanggan.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X