Selasa, 18 Februari 2020 | 6:54pm
Pemimpin perniagaan Asia Pasifik dan pegawai kanan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengadakan pertemuan di Sydney
Pemimpin perniagaan Asia Pasifik dan pegawai kanan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengadakan pertemuan di Sydney

Pemimpin perniagaan, pegawai APEC bincang integrasi

KUALA LUMPUR: Pemimpin perniagaan dari seluruh Asia Pasifik bertemu di Sydney minggu minggu ini bagi membincangkan bersama pegawai kanan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) kaedah terbaik perkongsian integrasi, inovasi dan keterangkuman serantau.

“Kami melihat gangguan dan ketidaktentuan dalam situasi geopolitik, dalam pasaran dan perdagangan, ketidakseimbangan ekonomi, ekonomi digital dan persekitaran fizikal,” kata Pengerusi Anggota Lembaga Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), Datuk Rohana Mahmood.

“Satu perkara yang jelas, bagi mengatasi cabaran ini, kita perlukan lebih banyak kerjasama serantau. Ini adalah mesej utama kepada pegawai kanan APEC dalam dialog tahunan minggu ini,” katanya.

Beliau berkata, ABAC akan mencari penyelesaian kepada isu terbabit sebagai sebahagian pasca Wawasan 2020 bagi rantau ini, yang akan dimuktamadkan pada APEC tahun ini.

Katanya, ABAC mahukan komuniti ekonomi Asia Pasifik yang lancar, dinamik, berdaya tahan, inklusif dan mampan, disokong oleh Kawasan Perdagangan Bebas di Asia Pasifik dan dengan rakyat sebagai penyokongnya.

Dalam pada itu, Rohana berkata, ahli ABAC mengulangi sokongan kukuh mereka kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

“Persidangan Menteri WTO pertengahan tahun ini adalah peluang penting untuk melaksanakan kemajuan reformasi peraturan WTO dan menyelesaikan kebuntuan penyelesaian pertikaian,” katanya.

Berita Harian X