Khamis, 9 Januari 2020 | 7:48am
- Gambar hiasan/BERNAMA
- Gambar hiasan/BERNAMA

India hadkan import minyak sawit bertapis

NEW DELHI: Kerajaan India melaksanakan langkah mengehadkan import minyak sawit bertapis atas alasan bagi melindungi pengusaha kilang penapis tempatan.

Langkah sekatan terhadap olein sawit RBD (minyak sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau) itu diumumkan menerusi satu kenyataan oleh Kementerian Perdagangan negara itu semalam.

Sebelum ini, Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) menggesa New Delhi untuk melaksanakan langkah bagi menyokong kalangan pengekstrak minyak bijian berbanding pengimportan minyak sawit bertapis yang lebih murah.

"Kerajaan India sepatutnya hanya mengimport minyak sawit mentah (MSM) bagi memanfaatkan penggunaan kilang penapis tempatan. Ini adalah langkah dan hala tuju yang lebih tepat," kata Presiden SEA Atul Chaturvedi kepada BERNAMA.

India banyak bergantung kepada pengimportan 70 peratus keperluan minyak makannya dan minyak sawit Malaysia dan Indonesia merangkumi hampir dua pertiga daripada import minyak sayuran tahunan negara itu sebanyak yang mencecah 15 juta tan.

Pada Januari, kerajaan India menguatkuasakan pengurangan cukai import MSM kepada 37.5 peratus daripada 40 peratus manakala minyak sawit kepada 45 peratus daripada 50 peratus.

Kalangan penapis tempatan juga meminta supaya perbezaan cukai lebih tinggi antara MSM dan produk bertapis.

Malah, sekatan ke atas sawit RBD itu dilaksanakan di tengah-tengah peningkatan harga minyak makan.

Kenaikan harga itu berlaku sejak beberapa bulan lalu walaupun pengeluaran minyak dan import minyak meningkat, kata Menteri Hal Ehwal Pengguna, Ram Vilas Paswan.

"Ia menunjukkan ada pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mahu mencetuskan spekulasi. Kami memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya menerusi Twitter pada Selasa.

Prestasi rupee India yang susut nilai juga menjadi penyumbang kepada peningkatan kos import minyak makan tersebut. - BERNAMA

Berita Harian X