Khamis, 19 Disember 2019 | 8:09am

Exim Bank tawarkan pembiayaan perdagangan dan insurans digital

KUALA LUMPUR: Export-Import Bank of Malaysia Bhd (Exim Bank) memeterai perjanjian dengan Dagang NeXchange Bhd (DNeX) melalui subsidiari DNeX, SEALNET Sdn Bhd untuk menawarkan perkhidmatan dan produk insurans serta pembiayaan secara dalam talian bagi merangsang segmen logistik.

Portal SEALNET adalah platform digital berasaskan web bagi perkhidmatan kargo dan pengurusan perdagangan yang menyeluruh, bertujuan menghubungkan pengeksport serta pengimport dengan semua pihak yang berkaitan seperti penghantar barangan dan kastam termasuk membolehkan pertukaran data perdagangan secara elektronik.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank, Datuk Nazri Abdul Rahim, berkata perjanjian itu akan membolehkan produk dan perkhidmatan kewangan serta insurans yang disediakan oleh EXIM Bank disatukan ke dalam portal SEALNET.

"Kerjasama ini dijangka akan bermula secara langsung dalam pertengahan 2020," katanya dalam satu kenyataan.

"Kerjasama dengan DNeX sejajar usaha untuk memenuhi mandat kami dalam merangsang dan meningkatkan daya saing industri Malaysia dalam eksport serta pelaburan secara global melalui penyediaan perkhidmatan nasihat, produk insurans serta perbankan antarabangsa dan domestik yang kompetitif.

"Pengaturan kewangan dan insurans akan diperkemaskan melalui satu platform tunggal bagi membolehkan dan memperkasakan perniagaan merentas sempadan dengan cara yang lebih pantas," kata Nazri.

Ianya disasarkan kepada perniagaan dalam sektor pemudahcara dan logistik, rangkaian bekalan SEALNET serta proses logistik merentas sempadan bagi memudahkan sistem dan pendekatan pengurusan kargo serta perdagangan.

Majlis pemeteraian perjanjian disaksikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming. - BERNAMA

Berita Harian X