Selasa, 26 November 2019 | 12:56pm
Gambar fail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada persidangan Dewan Rakyat.
Gambar fail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada persidangan Dewan Rakyat.

Dana Rumah Mampu Milik RM596 juta diluluskan setakat 31 Oktober

KUALA LUMPUR: Lebih daripada 3,100 permohonan Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia (BNM) yang bernilai RM596 juta diluluskan setakat 31 Oktober 2019, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata, BNM dan institusi kewangan mengambil langkah untuk mengurangkan kos sampingan pemilikan rumah bagi membantu pembeli rumah dengan menubuhkan Dana Rumah Mampu Milik dengan peruntukan berjumlah RM1 bilion sejak Januari tahun ini.

"Penambahbaikan berkuat kuasa pada 1 September 2019. Penambahbaikan yang dilaksanakan termasuklah pendapatan maksimum bulanan isi rumah dinaikkan sehingga RM4,360 dan harga maksimum hartanah dinaikkan kepada RM300,000," katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Lim menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang) berhubung sejauh mana kemajuan yang dicapai oleh BNM untuk membantu lebih ramai rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah mampu milik.

Melalui dana itu, Lim berkata pembeli rumah pertama, terutama golongan muda, akan mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan pelaksana dengan kadar pembiayaan konsesi yang lebih murah daripada pasaran semasa, iaitu sebanyak 3.5 peratus setahun dan tempoh pembiayaan yang lebih panjang selama 40 tahun atau sehingga umur 70 tahun.

"Kadar pembiayaan yang rendah berserta tempoh pembiayaan yang lebih panjang dapat meningkatkan kemampuan peminjam melalui pengurangan pembayaran bulanan pembiayaan, seterusnya merangsang daya beli dan meningkatkan akses kepada pembiayaan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X