Sabtu, 2 November 2019 | 4:58pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Kenaikan harga MSM dijangka berterusan hingga 2020

PETALING JAYA: Peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) yang berlegar menghampiri RM2,500 satu tan menjadi petunjuk ia akan terus naik sehingga tahun depan, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Beliau berkata, antara faktor menyokong kenaikan itu adalah peningkatan permintaan kelapa sawit di tengah-tengah kemelut perang perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China, yang menyebabkan keengganan syarikat daripada ekonomi kedua terbesar di dunia itu membeli kacang soya AS.

"Malaysia juga akan memulakan program minyak biodiesel B20 pada tahun depan dan Indonesia akan melaksanakan (biodiesel) B30, jadi ini akan meningkatkan lagi permintaan minyak sawit.

"Saya gembira (dengan peningkatan harga). Walaupun industri kelapa sawit kita menghadapi pelbagai cabaran dan harga lebih rendah dari tahun lalu hingga ke tahun ini, sekarang kita lihat tanda ia akan terus naik lagi sehingga tahun depan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Sayangi Sawitku Gaya Hidup Sihat di Pangsapuri Sri Tanjung, USJ 16, di sini, hari ini.

Pada Rabu, pasaran berada pada paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan dengan penanda aras kontrak niaga hadapan Januari 2020 berada pada RM2,496 sebelum menurun sedikit kepada RM2,462 satu tan pada Jumaat berikutan aktiviti pengambilan untung.

"Sehubungan itu, ini dapat menjana pendapatan bagi pekebun kecil dan syarikat-syarikat kita. Mereka juga akan lebih lega dan berkemampuan untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka," kata Kok.

Pakar perladangan, Thomas Mielke daripada ISTA Mielke GmbH baru-baru ini berkata pengeluaran minyak sawit di Malaysia dijangka merosot sedikit pada 2020 daripada 20.5 juta tan direkodkan pada 2019 dan mendorong harga MSM didagangkan lebih tinggi pada RM2,600 satu tan bagi separuh pertama tahun depan.

Indonesia juga akan mengalami kemerosotan pertumbuhan pengeluaran sebanyak 1.8 juta tan pada 2020 kepada 43.6 juta tan daripada 45.4 juta tan tahun ini.

Kok berkata, kerajaan akan terus mempromosikan kebaikan minyak sawit bukan saja di luar negara malah di Malaysia bagi membendung kempen antiminyak sawit yang semakin berkembang ke beberapa negara di dunia.

Antaranya melalui pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang berlandaskan standard Eropah, katanya.

Menurut beliau, lebih 55 peratus kawasan penanaman sawit di Malaysia mempunyai pensijilan MSPO.

Kerajaan mensasarkan 100 peratus ladang kelapa sawit mempunyai pensijilan MSPO menjelang hujung tahun ini.

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan turut memperuntukkan RM30 juta geran padanan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk menggalakkan kerjasama antara industri dan ahli akademik bagi meningkatkan nilai tambah dalam penggunaan minyak sawit di sektor hiliran terutamanya tocotrienol dalam produk farmaseutikal dan bahan api bio-jet.

"Geran padanan ini akan disalurkan khususnya kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), institusi yang menjalankan penyelidikan berkenaan minyak sawit. Mereka akan mengkoordinasi kajian tocotrienol dan bahan api bio-jet," kata Kok. - BERNAMA

Berita Harian X