Jumaat, 1 November 2019 | 2:58pm

Momentum eksport negara ke India mungkin terjejas

KUALA LUMPUR: Momentum eksport Malaysia ke India yang kukuh ketika ini mungkin akan terjejas dengan ketara, jika negara itu melaksanakan sekatan terhadap import produk berkaitan minyak sawit, demikian menurut RAM Ratings.

Ini kerana, minyak sawit adalah penyumbang terbesar terhadap peningkatan secara menyeluruh permintaan import oleh India daripada Malaysia pada tahun ini.

“Eksport minyak sawit ke India meningkat hampir 70 peratus dalam tempoh lapan bulan pada 2019, dengan sumbangan positif sebanyak 11.0 mata peratusan.

“Sektor berkaitan minyak sawit Malaysia juga secara khususnya terdedah kepada langkah perdagangan diambil oleh India berdasarkan kepentingan negara itu sebagai destinasi eksport,” katanya dalam kenyataan.

Agensi penarafan itu berkata, sektor minyak sawit, bersama-sama dengan industri logam, bakal merosot dengan ketara kerana eksport masing-masing ke India terdiri daripada 10.4 peratus dan 10.8 peratus daripada jumlah eksport sektor itu pada 2018.

Sehubungan itu, RAM Ratings menjangkakan eksport Malaysia menurun 0.6 peratus pada September.

Begitu juga, import dijangka menguncup 0.4 peratus, walaupun mencatatkan pemulihan ketara selepas menyusut sebanyak 12.5 peratus pada Ogos.

Ini akan menjadikan lebihan perdagangan keseluruhan Malaysia kepada RM15.3 bilion pada akhir bulan.

Reuters baru-baru ini melaporkan kerajaan India mungkin mempertimbangkan mengenakan sekatan perdagangan ke atas barangan Malaysia susulan ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

-BERNAMA

Berita Harian X