Rabu, 2 Oktober 2019 | 6:12pm
MENARA Tun Razak Exchange (TRX).
MENARA Tun Razak Exchange (TRX).

Exchange 106 sedia tempatkan jenama terkemuka global

KUALA LUMPUR: Menara ikonik baharu di Malaysia, Exchange 106 sudah menerima Sijil Perakuan Siap Dan Pematuhan (CCC) dan bersedia untuk menempatkan jenama terkemuka global beroperasi di situ, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai destinasi pilihan utama pelabur di rantau ini.

Menara yang menjadi nadi pembangunan daerah kewangan dan perniagaan antarabangsa terkemuka ibu negara, Tun Razak Exchange (TRX) itu dijangka akan menarik lebih banyak syarikat multinasional (MNC) untuk beroperasi di situ.

Ia dijangka membawa masuk penyewa pertamanya pada Disember ini dan sebahagian besar penyewanya yang lain akan mula berpindah masuk pada Mac dan April tahun depan.

Dengan ketinggian 452 meter, Exchange 106 tergolong antara 10 bangunan pejabat tertinggi di dunia, sementara reka bentuk yang bertaraf dunia, menjadikannya setanding hartanah terkemuka antarabangsa lain seperti The Shard, bangunan di Canary Wharf, London; One World Trade Centre New York, Amerika Syarikat (AS); dan Shanghai IFC.

Ketua Pajakan Mulia Property Development Sdn Bhd, Joanne Ang, berkata dengan beroperasi di Exchange 106, syarikat boleh menjadi lebih dekat dengan rantaian bekalan yang mantap dan tenaga kerja matang.

“Dengan peruntukan nilai yang strategik, kami menjangkakan lebih banyak MNC dan konglomerat tempatan merebut peluang untuk menjadi sebahagian daripada poskod antarabangsa baharu di Kuala Lumpur dan meningkatkan daya saing mereka dengan beroperasi di Exchange 106 dan TRX,” katanya.

Pengurus Besar Pengurusan Hartanah Mulia Property Development, Patrick Honan, pula berkata Exchange 106 akan diuruskan oleh kakitangan Mulia Group.

Beliau menegaskan kumpulan itu mengamalkan layanan lima bintang bagi perkhidmatannya.

“Exchange 106 akan meneruskan legasi Mulia Group dengan menyediakan perkhidmatan yang sempurna. Ia akan menyediakan beratus-ratus pekerjaan yang mapan seperti pencuci bangunan, penyelenggaraan dan pegawai polis bantuan yang akan dilantik secara langsung,” katanya.

Diilhamkan oleh Art Deco dan digabungkan dengan prinsip seni bina Islam serta mempunyai lobi utama berukuran 15 meter tinggi, Exchange 106 menawarkan kemasan yang mewah.

Menara ikonik itu juga akan menawarkan ruang kosong bebas terbesar di Malaysia, termasuk ruang pejabat 22,000 hingga 34,000 kaki persegi, yang akan membolehkan susun atur yang fleksibel dan pelan reka bentuk dalaman terbuka kepada penyewa.

Exchange 106 diberi sentuhan ikonik dengan mahkota kaca bersegi ditempatkan di atasnya, yang mampu memberikan tindak balas dramatik pada waktu siang dan cahaya tersendiri pada waktu malam.

Manakala, lampu LED di seluruh bangunan berubah warna untuk mencerminkan warna mata wang Malaysia.

Bangunan itu mempunyai rangkaian hubungan yang baik, dengan tingkat bawahnya menjadi persinggahan pejalan kaki antara bangunan lain dalam TRX seperti bangunan pejabat HSBC dan Affin Bank, stesen MRT TRX dan pusat beli-belah baharu, Exchange Mall.

Berita Harian X