Rabu, 7 Ogos 2019 | 3:32pm

'Penggunaan domestik sokong pertumbuhan KDNK'

KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank Bhd (RHB Investment) menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua tahun ini berada pada kadar 4.6 peratus, berbanding 4.5 peratus yang dicatat pada suku pertama.

Naib Presiden RHB Investment merangkap Ketua Penyelidik Ekonominya, Peck Boon Soon, berkata prestasi itu disokong oleh penggunaan domestik yang masih kukuh.

“Kami mendapati saiz eksport bersih menunjukkan sedikit peningkatan pada suku kedua berbanding suku pertama dan menyumbang kepada peningkatan kecil dalam pertumbuhan KDNK keseluruhan pada suku kedua.

“Bagaimanapun, peningkatan itu mungkin sukar dikekalkan untuk separuh kedua tahun ini memandangkan keadaan ekonomi yang terus mencabar.

“Persekitaran luaran seperti konflik dagangan yang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) dan China terus melemahkan pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada majlis penyerahan hadiah utama kempen ‘Trade & Win 3.0 2018’ yang dianjurkan RHB Investment di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Eksekutif RHB Investment, Robert Huray.

Kempen yang berlangsung dari 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2019 itu berjaya menarik lebih 30,000 pelanggan baharu dalam tempoh berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai unjuran ekonomi untuk separuh kedua tahun ini, Huray berkata RHB Investment menjangkakan situasi akan kembali pulih terutama dalam aktiviti pasaran modal.

“Faktor persekitaran makro global yang sedang berlaku bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia tetapi juga pasaran global.

“Bagaimanapun, dengan adanya beberapa projek prasarana yang kembali disambung, kami menjangkakan saham dalam sektor perlombongan dan pembinaan boleh mengimbangi kejatuhan saham komoditi,” katanya.

Beliau berkata, RHB Investment menjangkakan KDNK setahun penuh pada kadar 4.5 peratus untuk tahun ini.

“Walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengurangkan 25 mata asas sebelum ini, situasi global khususnya yang berlaku antara AS dan China menjadi semakin buruk.

“Justeru, kami perlu menunggu apa keputusan yang bakal dibuat BNM dalam mesyuarat akan datang,” katanya.

Berita Harian X