Khamis, 25 Julai 2019 | 10:06pm
BIMB Holdings Bhd baru-baru ini dipilih sebagai 20 finalis dalam Anugerah Membina Kepercayaan 2019 oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia.
BIMB Holdings Bhd baru-baru ini dipilih sebagai 20 finalis dalam Anugerah Membina Kepercayaan 2019 oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia.

BIMB terima pengiktirafan

KUALA LUMPUR: BIMB Holdings Bhd baru-baru ini dipilih sebagai 20 finalis dalam Anugerah Membina Kepercayaan 2019 oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia.

Dalam satu kenyataan, firma itu berkata, anugerah itu bagi mengiktiraf syarikat Malaysia yang mengambil langkah dalam membina kepercayaan melalui komunikasi dan interaksi dengan pihak berkepentingan.

“Pemilihan berkenaan dibuat berdasarkan kualiti Laporan Tahunan Bersepadu BIMB yang dibandingkan dengan Rangka Kerja Majlis Pelaporan Bersepadu Antarabangsa (IIRC) serta ukuran persepsi amanah melalui penilaian terhadap kepercayaan kepimpinan dan undi orang ramai. Tiada penghantaran penyertaan atau pencalonan yang diterima untuk anugerah ini,” kata kumpulan itu, hari ini.

Sementara itu, buat julung kalinya, anak syarikat milik penuh BIMB iaitu Bank Islam Malaysia Bhd muncul di kedudukan teratas dalam jadual liga Sukuk Global Bloomberg dari kedudukan ke-27 (pada akhir 2018) pada separuh pertama tahun ini.

Ia meraih 17.31 peratus daripada penguasaan pasaran Sukuk Global, selepas berjaya mengatur beberapa perjanjian utama yang menjana sukuk berjumlah AS$ 5.15 bilion (RM21.02 bilion).

Selain itu, Bank Islam juga kali pertama mendahului dalam jadual liga Pasaran Modal Malaysia Bloomberg dalam kategori Terbitan Bon Malaysia dan Sukuk Ringgit Malaysia pada separuh pertama tahun ini.

Sehingga 30 Jun 2019, penguasaan pasarannya dalam Bon Malaysia dan Sukuk Ringgit Malaysia masing-masing berada pada kadar 34.71 peratus dan 38.28 peratus.

Mengulas mengenai kejayaan itu, Pengerusi BIMB, Tan Sri Ambrin Buang, berkata pihaknya bangga dengan pencapaian keseluruhan anak syarikat.

“Kami akan terus berusaha dan menyampaikan penyelesaian kewangan kepada pelanggan, bukan sahaja di pasaran modal Islam tetapi juga dalam Kewangan Islam secara umum,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, BIMB Investment Management Bhd (BIMB Investment), syarikat pengurusan dana Islam sepenuhnya dan anak syarikat milik penuh Bank Islam yang menyediakan produk dan perkhidmatan pelaburan Syariah yang bercirikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kepada pelabur individu dan korporat, juga menerima penghormatan sebagai Pengurus Aset ESG Terbaik sempena Anugerah Kewangan Islam The Asset Triple A 2019.

Ia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian penting BIMB Investment dalam elemen ESG, kelestarian dan pengurusan aset di rantau Asia.

Perjalanan Bank Islam dalam pelaburan ESG dan mampan bermula pada 2015. Dalam tempoh empat tahun itu, usaha ESG oleh bank ini mendapat tumpuan dan dinilai sebagai kriteria penting dalam mengukur penghasilan nilai bank, di samping analisis asas kewangannya.

Berita Harian X