Isnin, 22 Julai 2019 | 3:52pm
Mohd Redzuan (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Mohd Hafiz dan Isarji selepas melancarkan BXCESS, aplikasi yang memperkasakan program Transformasi Usahawan Digital di UIAM. - NSTP/Rosdan Wahid
Mohd Redzuan (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Mohd Hafiz dan Isarji selepas melancarkan BXCESS, aplikasi yang memperkasakan program Transformasi Usahawan Digital di UIAM. - NSTP/Rosdan Wahid

Perkembangan kereta terbang Malaysia capai 75 peratus

GOMBAK: Inovasi kereta terbang negara kini mencapai 75 peratus kemajuan dan berada di landasan untuk dibangunkan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata pembuatan dan inovasi kereta berkenaan yang menggunakan inisiatif syarikat persediaan, dijangka bakal dibangunkan sebuah syarikat Malaysia senaraian New York Stock Exchange.

“Setakat ini, ada satu syarikat yang bersedia membangunkan kereta terbang dan ia syarikat Malaysia yang disenaraikan di New York Stock Exchange.

“Namun, saya tidak boleh menyebut nama syarikat berkenaan kerana tidak mahu ia dispekulasikan,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran BXCESS, aplikasi yang memperkasakan Program Transformasi Usahawan Digital hasil inisiatif Fintech Capital Group Bhd (FCGB), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah FCGB, Mohd Hafiz M Said@Mohd Shaikh dan Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Isarji Sarudin.

Mohd Redzuan berkata, pihaknya mengharapkan inovasi itu dapat diterima dengan positif di kalangan peserta industri.

“Apa yang saya lihat, golongan muda dan kanak-kanak teruja untuk melihat teknologi kereta terbang ini.

“Sekarang ini, kita hanya mahu mendapatkan penerimaan piawaian dan peraturan daripada agensi berkenaan untuk membenarkan inovasi (kereta terbang) itu dapat diterbangkan.

“Kita berharap, ada ruang mencukupi untuk menjalankan ujian penerbangan kereta itu, jika kerajaan sudah meluluskan,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Redzuan dipetik berkata, prototaip kereta terbang pertama negara dijangka dilancarkan seawal Oktober depan.

Katanya, kenderaan canggih itu antaranya menggunapakai teknologi dron dan kecerdasan buatan (AI) yang kini berkembang pesat.

“Kita menjalin kerjasama dengan syarikat berkepakaran dalam industri berkenaan bagi memastikan teknologi digunakan selari dengan inovasi antarabangsa.

“Lebih menarik, prototaip kereta terbang berkenaan dibangunkan anak tempatan yang berfikiran jauh ke depan dan bertaraf global,” katanya.

Berita Harian X