Khamis, 18 Julai 2019 | 3:36pm
Lotus Evija. - Foto Bloomberg
Lotus Evija. - Foto Bloomberg

Lotus Cars pesat berkembang di bawah Geely

LONDON: Lotus Cars bersedia mengembangkan modelnya di bawah Geely Automobile Holdings Ltd, pengeluar kenderaan dari China, yang mana ia menyaksikan syarikat automotif ikonik Britain itu membuka kilang keduanya.

Susulan langkah itu, ia membolehkan Lotus meneroka pasaran baharu dengan mengeluarkan lebih banyak kenderaannya di China.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Phil Popham, berkata Lotus merancang untuk menggandakan pengeluarannya di pangkalan Hethel, timur England, kepada lebih 5,000 unit dan mampu mencapai sehingga 10,000 unit jika ia menggunakan waktu kerja berganda.

Bagaimanapun, pertambahan pengeluaran mungkin memerlukan pangkalan baharu di lokasi lain di negara ini, katanya, dengan menambah syarikat tidak peduli dengan kesan Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (Brexit).

Popham menganggap Lotus sebagai ‘syarikat pemula berusia 70 tahun’ selepas berjaya melancarkan model baharu pertamanya dalam tempoh 10 tahun.

Kenderaan elektrik, Evija bernilai AS$2.1 juta (RM8.65 juta) diikuti dengan model enjin pembakaran tunggal akan diperkenalkan pada 2020.

Rancangan pertumbuhan 10 tahun Lotus termasuk pengembangan kepada segmen baharu, kata Popham selepas memperkenalkan Evija pada satu majlis di London yang mana ia mempamerkan model terdahulu termasuk Elan pada 1960an dan Esprit, yang digunakan dalam filem James Bond.

Lotus mengeluarkan 1,632 unit pada 2018 dan menjangkakan pengeluarannya mencecah 1,700 unit tahun ini.

Ketua Pegawai Teknikal Geely yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lotus, Feng Qingfeng, berkata berikutan pengambilalihan pengeluar kereta berpangkalan di Zhejiang pada 2017, varian model ‘sporty’ akan terus dibuat di UK, manakala model pengeluaran yang lebih tinggi boleh dibuat di China.

“Lokasi pengeluaran bergantung kepada kelebihan tempatan.

“UK adalah baik untuk kereta buatan tangan, lasak dan mewah. Di China kita mungkin mempunyai kelebihan unfrastruktur bagi pengeluaran kenderaaan besar-besaran,” katanya.

Sementara itu, Popham berkata, terdapat kemungkinan untuk Lotus bekerjasama dengan anak syarikat Geely yang lain, termasuk Volvo Cars, Sweden dan Proton, Malaysia.

Bercakap kepada Bloomberg TV, beliau berkata Lotus memperoleh beberapa pesanan pertama untuk Evija dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan menjangka menjual model "halo", yang akan menghasilkan pengeluaran hanya 130 unit kepada pembeli di seluruh dunia. - Bloomberg

Berita Harian X