Khamis, 11 Julai 2019 | 1:42pm

Syarikat Malaysia disenarai "Forbes' Asia's 200 Best Under a Billion"

KUALA LUMPUR: Tiga syarikat Malaysia disenarai dalam “Forbes’ Asia’s 200 Best Under a Billion”, pengiktirafan yang dikuasai oleh firma dari China, Jepun, Korea Selatan, dan Australia.

Tiga syarikat berkenaan iaitu Elsoft Research Bhd (Elsoft), Pentamaster Corporation Bhd (Pentamaster) dan Vitrox Corporation Bhd (Vitrox), memiliki nilai pasaran keseluruhan hampir RM5.53 billion dan pendapatan bersih berjumlah AS$59 juta (RM259.6 juta).

Elsoft yang diasaskan pada 2003, adalah pengeluar semikonduktor dan ujian LED dan sistem nyalaan myang emiliki pemodalan pasaran mencecah AS$132 juta (RM546 juta).

Pentamaster yang ditubuhkan pada 1995 pula, menjadi syarikat pegangan pelaburan menerusi anak syarikatnya yang terbabit dalam pembuatan mesin separa automatik dan automatik serta peralatan dan menghasilkan komponen mesin ketepatan.

Setakat Julai, Pentamaster memiliki pemodalan pasaran berjumlah AS$329 juta (RM1.36 bilion) menggajikan lebih 200 pekerja dan merekodkan jualan mencecah AS$105 juta (RM434 juta).

Dalam senarai sama, Vitrox iaitu pembangun dan pengeluar sistem pemeriksaan visi automatik melalui anak syarikatnya memiliki nilai pasaran tertinggi iaitu AS$796 juta (RM3.29 bilion).

Penyedia penyelesaian mesin visi dan pemeriksaan litar semikonduktor bersepadu itu adalah syarikat tertua dalam kalangan tiga syarikat Malaysia yang disenaraikan dalam “Forbes’ Asia’s 200 Best Under a Billion” apabila ditubuhkan pada 1994.

Pencapaian tiga syarikat tempatan menjadi kebanggaan apabila mengatasi Singapura yang hanya memiliki dua syarikat berada dalam senarai berkenaan.

Dua syarikat dari Singapura ialah AEM Holdings dan IGG, yang masing-masing memiliki nilai pemodalan pasaran AS$190 juta (RM794 juta) dan AS$1.5 bilion (RM6.2 bilion).

Jika digabungkan pendapatan bersih kedua-dua syarikat Singapura itu, ia mencecah AS$214 juta atau hampir satu bilion ringgit tahun lalu.

Thailand pula memiliki lima syarikat dalam senarai berkenaan dengan gabungan nilai pemodalan pasaran AS$851 juta (RM3.5 bilion).

Lima syarikat berkenaan ialah Exotic Food, Pylon, Seafco, Siam Wellness Group dan United Paper.

Berita Harian X