Selasa, 9 Julai 2019 | 12:30pm
Kumpulan AirAsia menerima jumlah peruntukan tertinggi Hak Trafik Udara (ATR) bagi suku kedua 2019 dengan 22 peruntukan.
Kumpulan AirAsia menerima jumlah peruntukan tertinggi Hak Trafik Udara (ATR) bagi suku kedua 2019 dengan 22 peruntukan.

AirAsia paling banyak terima Hak Trafik Udara

KUALA LUMPUR: Kumpulan AirAsia menerima jumlah peruntukan tertinggi Hak Trafik Udara (ATR) bagi suku kedua 2019 dengan 22 peruntukan, diikuti oleh Malaysia Airlines Bhd dan Malindo Air masing-masing sebanyak 19 dan lapan peruntukan.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dalam kenyataannya berkata, sejumlah 33 ATR yang sebelum ini diluluskan oleh suruhanjaya itu tidak digunakan oleh penerima ATR dan dikembalikan kepada pada suku kedua 2019.

“Dalam tempoh berkenaan, bilangan ATR yang tidak digunakan yang tertinggi adalah dari Kumpulan AirAsia dengan 19, diikuti oleh Malindo Air dengan 10.

“Empat permohonan tambahan juga telah ditarik balik secara sukarela oleh syarikat penerbangan pada tempoh itu,” katanya.

MAVCOM berkata, bagi tempoh enam bulan dari 1 Januari hingga 30 Jun 2019, ia telah meluluskan 100 peratus daripada 104 permohonan ATR yang diterima.

“Dalam tempoh ini, MAVCOM telah meluluskan 36 ATR domestik, 35 untuk destinasi ASEAN, 16 untuk destinasi di China dan baki 17 untuk destinasi Asia lain dan Australia.

“Kumpulan AirAsia menerima jumlah tertinggi peruntukan ATR bagi separuh pertama tahun ini, dengan 38,” katanya.

Bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun 2019, aplikasi ATR menyaksikan kadar kelulusan 100

peratus oleh MAVCOM.

Sebanyak 51 peruntukan diluluskan dengan satu permohonan yang menerima kelulusan separa.

Daripada 51 permohonan ATR, 37.3 peratus adalah untuk laluan domestik manakala 62.7 peratus adalah untuk laluan antarabangsa.

MAVCOM telah meluluskan sebanyak 19 laluan domestik, 22 laluan ke destinasi ASEAN, lima laluan ke China, dua laluan ke India dan tiga laluan ke destinasi Asia yang lain.

Penyelidikan lanjut laporan menunjukkan sebanyak 36 ATR antarabangsa diberi bagi

penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, enam ATR bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu serta sembilan ATR bagi lapangan-lapangan terbang lain di Malaysia.

Berita Harian X