Jumaat, 21 Jun 2019 | 8:30am
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Mohamaddin Ketapi (tengah) bergambar bersama anak anak yataim pada program Libat Urus usahawan Kraf Sarawak serta majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak di Pejabat Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sarawak, Petra Jaya, Kuching. - Foto L. Manimaran
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Mohamaddin Ketapi (tengah) bergambar bersama anak anak yataim pada program Libat Urus usahawan Kraf Sarawak serta majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak di Pejabat Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sarawak, Petra Jaya, Kuching. - Foto L. Manimaran

Sarawak catat jualan kraf RM13.6 juta sehingga Mei

KUCHING: Sarawak mencatatkan jualan kraf RM13.6 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini membabitkan 932 usahawan kraf, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, tahun lepas Sarawak menjana RM30 juta nilai jualan daripada 730 usahawan kraf dan lain-lain rantaian didorong pertambahan projek dan aktiviti baharu.

“Kementerian amat berpuas hati dengan pencapaian itu dan saya percaya jumlah ini akan terus meningkat dan memberi sumbangan kepada industri kraf negara khususnya dan industri pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Aidilfitri dan Gawai Dayak di Kraftangan Malaysia cawangan Sarawak di sini malam tadi.

Pada peringkat nasional, jualan produk kraf dicatatkan sebanyak RM211.9 juta sehingga Mei tahun ini berbanding RM506.5 juta pada 2018 untuk pasaran domestik.

Beliau berkata, Kraftangan Malaysia berjaya melaksanakan beberapa aktiviti pembangunan produk baharu dan pengeluaran produk yang memfokuskan kepada produk kraf tekstil tradisi Sarawak seperti Songket Sarawak, Tenunan Pua Karap dan Batik Linut pada tahun ini.

Katanya, Kraftangan Malaysia turut memperkenalkan penggunaan bahan baharu iaitu linut atau kanji sagu untuk memberi kelainan dalam penggunaan bahan dan teknik pemprosesan batik bagi tujuan komersial.

Menerusi projek itu, komuniti kraf baharu di Mukah, Sarawak berjaya diwujudkan.

Katanya, keunikan produk kraf di Sarawak turut mendapat perhatian dan pengiktirafan di acara antarabangsa seperti beg anyaman Pihan, hasil kerja tangan komuniti kraf Kaum Penan, Sarawak yang digunakan sebagai cenderamata untuk program World Library and Information Congress 2018 di Kuala Lumpur.

Mohamaddin juga berkata, Sarawak menerima agihan 50 peratus cukai pelancongan bagi 2017 hingga Disember 2018 berjumlah RM2.58 juta pada Mac lalu. - BERNAMA

Berita Harian X