Khamis, 18 April 2019 | 1:13pm
MOHD Zamree (empat dari kiri) bersama Sulaiman (lima dari kiri) bergambar beramai selepas Majlis Pelancaran SME Biz Start Up-I, di Bangunan AmBank Group, Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib
MOHD Zamree (empat dari kiri) bersama Sulaiman (lima dari kiri) bergambar beramai selepas Majlis Pelancaran SME Biz Start Up-I, di Bangunan AmBank Group, Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib

Malaysia dijangka tidak akan dituruntaraf oleh FTSE Russell - AmBank

KUALA LUMPUR: AmBank (M) Bhd tidak menjangkakan Malaysia akan dituruntaraf oleh penyedia indeks global, FTSE Russell kerana yakin kerajaan tidak akan membiarkan ia berlaku begitu sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata ini kerana sudah tentu banyak proses perbincangan dan libat urus akan berlaku di antara kedua-dua pihak dan pada masa ini beliau melihat berita mengenai turun taraf itu hanyalah spekulasi semata-mata.

Katanya, jika melihat Malaysia secara menyeluruh, kecairan dalam pasaran bonnya sangat tinggi iaitu hampir kepada RM500 bilion dari segi saiz.

"Jika melihat kepada peratusan yang diwakili oleh dana pencen Norway dan FTSR Russell dalam pasaran bon Malaysia adalah sekitar AS$14 bilion (RM57.9 bilion), sebahagian kecil sahaja daripada keseluruhan saiz pasaran bon tempatan.

"Ya, akan ada sedikit impak, tetapi keputusan (turun taraf) akan dibuat pada September ini. Tetapi sekali lagi, sudah tentu kerajaan dan seluruh negara memandang serius perkara ini dan saya pasti sudah tentu ada komunikasi berlaku.

"Seperti saya katakan, Malaysia kekal kukuh dari segi fundamental jika dilihat pada unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini. Kita juga mempunyai lebihan akaun semasa yang utuh dan harga komoditi yang agak stabil, maka Malaysia kekal menjadi destinasi pelaburan yang menarik setakat ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran kemudahan pembiayaan SME Biz Start Up-i dan Skim Jaminan Portfolio untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berjumlah RM500 juta di Menara AmBank di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak.

Pada Isnin, FTSE Russell meletakkan tahap kebolehaksesan pasaran Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Global dalam pemerhatian berikutan penurunan daripada paras semasa 2 kepada 1, susulan kebimbangan mengenai kecairan pasaran, di akhir tempoh kajian pada September.

Penurunan ini akan menyebabkan kerajaan Malaysia tidak layak untuk memegang indeks yang membantu mengembangkan pasaran tempatan kepada pelabur global.

Ia juga menyebabkan Malaysia berdepan risiko aliran keluar dana kira-kira AS$4 bilion (RM16.5 bilion) oleh dana pasif dan tambahan AS$2 bilion hingga AS$4 bilion oleh dana aktif sekiranya FTSE Russell mengeluarkan bon Malaysia daripada Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI).

Mengulas mengenai pembiayaan SME Biz Start Up-i, Sulaiman berkata, ia adalah dana yang julung kali diperkenalkan oleh pihaknya bagi membantu syarikat pemula.

Katanya, pihaknya bekerjasama dengan CGC bagi menawarkan pembiayaan berjumlah RM30 juta kepada syarikat pemula menerusi SME Biz Start Up-i itu.

"Kemudahan patuh syariah ini disasarkan kepada start-up yang sudah memulakan perniagaan di antara setahun hingga tiga tahun dan kekurangan cagaran serta akses kepada pembiayaan.

"Kemudahan ini menawarkan pembiayaan bermula dari RM30,000 hingga RM300,000 kepada yang start-up yang layak dan 70 peratus pembiayaan ini dijamin oleh CGC.

"Setakat ini, sebanyak lapan syarikat pemula sudah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pembiayaan daripada kemudahan ini," katanya.

Berita Harian X