Khamis, 4 April 2019 | 8:35am

Kumpulan India bimbang peningkatan import olein sawit Malaysia

NEW DELHI: Satu kumpulan industri India menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketara jumlah import olein sawit ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) dari Malaysia, susulan langkah pengurangan duti antara minyak sawit mentah (MSM) dan bertapis.

Import olein sawit itu berjumlah 300,000 tan pada Mac dan menjejaskan harga pihak penapis minyak tempatan dan biji sawi, kata Persatuan Pengekstrak Pelarut (SEA) India pada Rabu.

Jumlah import olein sawit RBD India mencecah 241,101 tan pada Februari berbanding 167,429 tan pada Januari.

Kerajaan India bertindak mengurangkan duti MSM kepada 40 peratus daripada 44 peratus pada Januari manakala bagi minyak sawit bertapis dikurangkan kepada 50 peratus daripada 54 peratus.

Bagi olein sawit RBD dari Malaysia, cukainya dikurangkan daripada 54 peratus kepada 45 peratus sejajar Perjanjian Komprehensif Malaysia-India (MICECA).

Dalam sepucuk surat kepada Kementerian Kewangan, kumpulan itu berkata pengurangan perbezaan duti antara MSM dan olein sawit dari sumber di Malaysia menyebabkan import olein sawit RBD meningkat daripada 130,000 tan pada Disember kepada hampir 300,000 tan pada Mac.

Ia mendakwa, petani serta industri penapisan minyak makan tempatan akan terjejas teruk "sekiranya perkara ini tidak diperbetulkan" dan berharap kerajaan dapat menaikkan semula perbezaan cukai antara MSM dan minyak sawit bertapis kepada 10 peratus.

India adalah pengimport utama minyak sawit berikutan pengeluaran minyak bijian tempatan yang tidak mencukupi bagi menampung keperluan bulanan minyak makan sebanyak 1.9 juta tan. - BERNAMA

Berita Harian X