Isnin, 25 March 2019 | 9:00am
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal.
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal.

Invest Malaysia 2019 positif hala tuju Malaysia

KUALA LUMPUR: Hasrat dan tujuan kerajaan bagi fasa pembangunan negara selanjutnya disampaikan dengan jelas kepada lebih 2,300 peserta Invest Malaysia 2019 yang diadakan pada 19 hingga 20 Mac lalu.

Rata-rata peserta persidangan pasaran modal terbesar Malaysia itu yang terdiri daripada pengurus dana tempatan dan luar negara dari Thailand, Jepun, Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) menyambut baik mesej yang disampaikan dan positif terhadap komitmen kerajaan ke arah pembaharuan dengan memastikan tadbir urus dan akauntabiliti yang lebih baik.

Pada penganjuran persidangan edisi ke-15 anjuran Bursa Malaysia Bhd dengan kerjasama Maybank itu, peserta mendapat pencerahan dan berpeluang berinteraksi secara langsung dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai hala tuju dasar kerajaan dalam mengekalkan kemakmuran ekonomi negara; pengukuhan institusi; pelaburan swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC); pelaburan langsung asing (FDI) dan hubungan luar negara.

Dalam ucaptama pada pembukaan Invest Malaysia 2019 itu, Perdana Menteri menggariskan lima strategi makro bagi memastikan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan.

Lima strategi itu ialah memacu produktiviti di semua peringkat untuk memastikan pertumbuhan mapan dan inklusif; menggalakkan pelaburan berkualiti untuk menerajui pertumbuhan ekonomi; mewujudkan inisiatif kepada industri bagi meningkatkan rantaian nilai; memperkukuhkan eksport untuk meningkatkan imbangan pembayaran dan menekankan penyatuan fiskal untuk memastikan kelestarian dalam jangka sederhana.

Dr Mahathir menjelaskan fokus pertumbuhan ialah dalam bidang ekonomi digital, pengeluaran dengan teknologi tinggi, kadar gaji tinggi serta kepesatan sektor perkhidmatan.

Dalam ucaptama itu juga, Perdana Menteri menyatakan kerajaan mungkin akan menyenaraikan beberapa entiti kerajaan yang sudah matang ke Bursa Malaysia dan pada masa sama meneliti untuk mengurangkan pegangan saham milik GLC di dalam syarikat yang disenaraikan.

Langkah berkenaan, jelasnya, bertujuan memastikan pengawalan risiko yang lebih baik terhadap penerbitan jaminan kerajaan, akses pasaran lebih baik dan mengenal pasti peluang dalam penjualan aset yang berpotensi.

Secara keseluruhan, ucapan Perdana Menteri itu memberi keyakinan dan kelegaan kepada pelabur dan komuniti korporat tempatan dan asing bahawa kerajaan komited dalam menyediakan persekitaran mesra pelabur, menggalakkan sektor swasta memacu pertumbuhan dan GLC terus merangsang pertumbuhan.

Selain itu, peserta Invest Malaysia 2019 juga mendapat pencerahan mengenai rancangan kerajaan untuk mengurangkan paras hutang negara dan mengukuhkan kedudukan fiskal pada sesi perbualan bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Dalam sesi perbualan yang bertajuk “Mencartakan Pertumbuhan Mapan”, Guan Eng menjelaskan asas ekonomi Malaysia terus kukuh dan kekal berkembang.

Keyakinan pelabur asing kekal tinggi dicerminkan oleh jumlah pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan pada 2018 melonjak 48 peratus kepada RM80.5 bilion.

Guan Eng berkata, kejayaan menerbitkan bon Samurai 200 bilion yen dengan 1.6 kali terlebih langganan juga menjadi testimoni keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia di bawah pemerintahan Pakatan Harapan.

Menteri Kewangan itu juga memberi jaminan bahawa kerajaan komited dalam mengurangkan defisit fiskal dan optimis sasaran defisit fiskal 3.0 peratus tahun depan mampu dicapai meskipun berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar.

Katanya, keyakinan itu bersandarkan kepada pertumbuhan berterusan ekonomi negara, kemasukan FDI dan manfaat pembaharuan institusi yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Invest Malaysia 2019 juga memperlihatkan peserta disajikan dengan perbincangan mengenai mandat dan peluang baharu oleh Khazanah Nasional Bhd, Permodalan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan menjelaskan mandat sayap pelaburan kerajaan Malaysia itu adalah untuk mengembangkan aset negara untuk tempoh jangka panjang dengan aset dikategorikan kepada dua iaitu strategik dan komersial.

Bagi KWSP pula, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias berkata, mandat utama pengurus dana persaraan itu kekal dipandu oleh peruntukan aset strategik sementara mandat PNB pula adalah meningkatkan kekayaan pemegang unitnya, demikian kata Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Bagi KWAP pula, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman berkata, sebagai pelabur jangka panjang, portfolio pelaburannya terbahagi kepada teras dan bukan teras.

Semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu akan terus mempelbagaikan pelaburan ke dalam pelaburan alternatif seperti ekuiti swasta, hartanah dan aset alternatif lain yang menjana pulangan yang tinggi.

Persidangan Invest Malaysia 2019 itu juga disertai 63 syarikat bersaiz sederhana dan besar yang terbabit dalam pelbagai industri termasuk perbankan, perladangan, automobil, pembinaan, minyak dan gas, hartanah dan telekomunikasi.

Berita Harian X