Rabu, 20 March 2019 | 2:41pm
KETUA Pegawai Eksekutif, Lazada Malaysia, Leo Chow (kanan) bersama Ketua Pegawai Pemasaran, Lazada Malaysia, Andrew Gnananantham pada pelancaran "Lazada 7th Birthday Celebration" di The Bee, Publika. - Foto Khairul Azhar Ahmad
KETUA Pegawai Eksekutif, Lazada Malaysia, Leo Chow (kanan) bersama Ketua Pegawai Pemasaran, Lazada Malaysia, Andrew Gnananantham pada pelancaran "Lazada 7th Birthday Celebration" di The Bee, Publika. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Lazada anjur jualan ulang tahun ke-7

KUALA LUMPUR: Platform beli-belah dalam talian, Lazada menganjurkan kempen jualan sempena sambutan ulang tahunnya yang ketujuh bermula esok hingga 27 Mac yang akan menyaksikan penyertaan daripada lebih 70,000 penjual.

Ketua Pegawai Pemasaran Andrew Gnananantham berkata jumlah penjual akan sama seperti pada acara 11.11 ‘Single Day’ pada tahun lalu.

“Lazada akan berperanan lebih daripada sekadar aplikasi beli-belah kerana kami juga membawakan keperluan gaya hidup dan hiburan di mana kami akan membuat penstriman secara langsung konsert antarabangsa penyanyi pemenang anugerah Grammy, Dua Lipa buat pertama kalinya ke enam pasaran di Asia Tenggara pada 26 Mac,” katanya kepada pemberita pada pelancaran sambutan ulang tahun ke-tujuh Lazada di sini, hari ini.

Gnananantham berkata, kempen itu juga akan menampilkan LazGame untuk pelanggan berseronok dan mendapatkan lebih banyak tawaran, lebih banyak ganjaran dengan pembayaran menerusi Lazada Wallet, yang menggabungkan jualan lain seperti Crazy Flash Sales dan Slash It Deals, dan menyediakan penghantaran percuma.

“Kami juga memperkenalkan ciri beli-belah sosial baharu dikenali Group Buy with Friends, dengan pelanggan boleh mempelawa rakan-rakan untuk membeli-belah produk serupa dan mendapat diskaun kumpulan,” katanya.

Mengulas trend beli-belah dalam talian, Gnananantham berkata pelanggan baharu, yang menyertai platform itu, telah membeli-belah dengan lebih kerap, sekurang-kurangnya setiap bulan, berbanding hanya sekali dalam tempoh dua hingga tiga bulan pada tahun sebelumnya.

“Orang ramai kini membeli barangan perkakasan rumah, serta produk pakaian dan kecantikan dengan lebih kerap.

“Penembusan e-perdagangan di Malaysia kini hampir 50 peratus daripada jumlah netizen seluruh dunia. Dengan seorang daripada tiga netizen Malaysia menggunakan app Lazada, kami telah menjadi platform bagi tujuan keperluan harian, hiburan dan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Gnananantham berkata kalangan penjual dan jumlah jualan masih sebahagian besarnya datang dari Malaysia di samping China, Korea Selatan dan Jepun.

“Ulang tahun ini bukan hanya tentang pelanggan tetapi juga tentang peserta e-perdagangan. Menurusi pendekatan Live Work Play, kami mahu terus mengembangkan ekosistem tempatan dalam peniagaan ini, termasuk bank-bank utama, telco dan rangkaian penyedia logistik pihak ketiga,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X