Selasa, 19 March 2019 | 2:01pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (kiri) ketika sesi soal jawab pada Invest Malaysia 2019 hari ini. Turut kelihatan Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin. - Foto BERNAMA
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (kiri) ketika sesi soal jawab pada Invest Malaysia 2019 hari ini. Turut kelihatan Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin. - Foto BERNAMA

'Beri pinjaman atau berdepan cukai baharu'

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan menggesa bank di negara ini supaya lebih fleksibel memberikan pinjaman kepada syarikat tempatan atau berkemungkinan berdepan cukai baharu.

Menterinya, Lim Guan Eng, berkata banyak aduan diterima daripada syarikat tempatan mengenai kesukaran mendapatkan akses kepada pembiayaan.

Beliau berkata, pada tahun lalu, bank tempatan mencatatkan keuntungan yang besar, malah ada beberapa bank mencatatkan rekod keuntungan tertinggi.

"Di Malaysia, belum ada ‘cukai durian runtuh’ untuk bank. Saya fikir  mungkin ini adalah masa untuk anda (bank) mula memberikan pinjaman atau (mungkin) anda lebih berminat untuk membayar ‘cukai durian runtuh’," katanya pada sesi perbualan bersama Menteri bertajuk "Mencartakan Pertumbuhan Mapan" pada persidangan Invest Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Mengenai tumpuan kajian semula insentif cukai, Guan Eng berkata, tumpuan kerajaan adalah untuk mewujudkan nilai dan membuka peluang kepada perniagaan baharu.

Katanya, kerajaan mahu industri yang dapat mewujudkan nilai dan menawarkan peluang pekerjaan di negara ini.

Mengenai langkah mengukuhkan kedudukan fiskal negara, Guan Eng berkata, kerajaan komited untuk mengurangkan defisit negara.

Beliau berkata, kerajaan yakin sasaran untuk mencapai defisit fiskal pada 3.0 peratus tahun depan mampu dicapai meskipun berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan kepada pertumbuhan berterusan ekonomi negara, kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dan manfaat pembaharuan institusi yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

“Pembayaran dividen khas PETRONAS sebanyak RM30 bilion adalah untuk pembayaran semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan dan bukan untuk menyelesaikan defisit fiskal,” katanya sambil menambah pembayaran semula GST dan cukai pendapatan akan dilaksanakan secara beransur-ansur tahun ini.

Mengulas mengenai cadangan menswastakan sesetengah agensi kerajaan, Guan Eng berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkannya.

Beliau memberi jaminan, langkah penswastaan kerajaan itu tidak akan menjejaskan penjawat awam, sebaliknya mereka diserapkan ke dalam entiti yang akan diswastakan itu.

Berita Harian X