Selasa, 19 March 2019 | 12:40pm
Dr Mahathir bersama Pengerusi Bursa Malaysia, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen (kanan) ketika persidangan Invest Malaysia 2019 di Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Dr Mahathir bersama Pengerusi Bursa Malaysia, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen (kanan) ketika persidangan Invest Malaysia 2019 di Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Entiti kerajaan tidak tersenarai ke Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin akan menyenaraikan beberapa entiti miliknya yang sudah matang ke Bursa Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, tambahan daripada itu, kerajaan juga sedang meneliti untuk mengurangkan pegangan saham milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di dalam syarikat yang disenaraikan.

“Ini bertujuan memastikan pengawalan risiko yang lebih baik terhadap penerbitan Jaminan Kerajaan, akses pasaran lebih baik dan mengenalpasti peluang dalam penjualan aset yang berpotensi.

“Seharusnya tiada gangguan terhadap pasaran modal, keyakinan terhadap pasaran kewangan, persekitaran penilaian dan pertumbuhan ekonomi,” katanya pada persidangan Invest Malaysia 2019, di sini, hari ini.

Dr Mahathir, berkata prinsip utama untuk meraih hasil daripada mana-mana aset kerajaan ialah pelupusan atau penjualan tidak boleh dilakukan pada harga yang sangat murah dan rendah.

“Sebarang pelupusan saham, penjualan aset, lelongan atau langkah-langkah lain akan dilakukan dengan teratur dan dilaksanakan secara menyeluruh di semua syarikat berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, biarpun kehadiran GLC sering dianggap menyesakkan sektor swasta, namun itu bukanlah tujuan sebenarnya.

“Hasrat kami adalah untuk GLC memainkan peranan sebagai pemangkin tertentu untuk menyokong ekonomi.

“Kami ingin mempelawa sektor swasta menyertai GLC dalam memenuhi beberapa agenda ekonomi negara," katanya.

Sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd awal bulan ini mengumumkan strategi baharu, yang menjelaskan ia bersedia untuk menjadi penyedia pulangan jangka panjang sebenar kepada kerajaan melalui pelaburan komersial.

Berita Harian X