Rabu, 6 March 2019 | 8:48pm

Keuntungan sektor perbankan dijangka merosot

KUALA LUMPUR: Keuntungan sektor perbankan dijangkakan merosot susulan pertumbuhan hasil yang perlahan dan peningkatan kos kredit.

Namun, penampan modal bank akan bertambah baik selari pertumbuhan aset yang perlahan, yang akan membantu bank bertahan terhadap peningkatan risiko aset.

Dalam makluman terkini pendapatan Bank-Bank Malaysia 2018 yang dikeluarkan hari ini, Moody’s Investors Service Singapore Pte Ltd berkata ia menjangkakan risko aset akan meningkat susulan penyusutan kedudukan makroekonomi.

“Risiko aset akan meningkat pada 2019, apabila perniagaan sektor berorientasikan eksport merosot, walaupun penampan penyerapan kerugian pinjaman kukuh, yang akan menangani risiko yang meningkat,” katanya.

Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody’s Investors Service, Simon Chen, berkata pertumbuhan pinjaman meningkat 5.6 peratus pada 2018 daripada 4.1 peratus pada 2017 disebabkan pemulihan beransur-ansur permintaan pinjaman dalam kalangan korporat dan isi rumah, sebahagiannya akibat pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan.

Kadar pertumbuhan pinjaman susut kepada antara empat peratus kepada lima peratus tahun ini, dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan ketiaktentuan dalam pendirian dasar jangka panjang kerajaan baharu menekan permintaan pinjaman dalam kalangan perniagaan dan isi rumah.

Sementara itu, Moody’s menjelaskan bahawa kebanyakan bank Malaysia yang dinilainya iaitu AmBank (M) Bhd (AmBank, Baa1/Baa1 stabil, baa3), CIMB Group Holdings Bhd (CIMB Group, Baa1 stabil), Hong Leong Bank Bhd (HLB, A3 stabil, a3), Malayan Banking Bhd (Maybank, A3/A3 stabil, a3), Public Bank Bhd (Public, A3 stabil, a3) dan RHB Bank Bhd (RHB, A3/A3 stabil, baa2) – melaporkan peningkatan kualiti aset dan permodalan pada 2018, manakala perubahan dalam keuntungan adalah bercampur-campur.

“Nisbah kekurangan pinjaman bagi kebanyakan bank-bank Malaysia yang dinilai Moody’s susut pada akhir 2018 tahun ke tahun disebabkan pembentukan kekurangan pinjaman baharu di dalam negara dan di luar negar, pembayaran semula pinjaman dan pelupusan,” katanya.

– BERNAMA

Berita Harian X