Selasa, 29 Januari 2019 | 2:26pm
Menteri Komunikasi Dan Multimedia (KKMM) Gobind Singh Deo merasmikan Pelancaran Program Pembanguanan Usaha Niaga HeiTech di Shah Alam, semalam. Foto BERNAMA.
Menteri Komunikasi Dan Multimedia (KKMM) Gobind Singh Deo merasmikan Pelancaran Program Pembanguanan Usaha Niaga HeiTech di Shah Alam, semalam. Foto BERNAMA.

Dasar sokong syarikat pemula niaga diperkenal tahun ini

SHAH ALAM: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan memperkenalkan dasar baharu bagi menyokong pertumbuhan ekosistem syarikat pemula niaga atau ‘startup’ di Malaysia pada pertengahan tahun ini.

Menterinya, Gobind Singh Deo, berkata pemula niaga adalah salah satu industri penting negara pada masa hadapan dan bakal menyokong kemaraan era Revolusi Industri Keempat (RI4).

Beliau berkata, KKMM komited meningkatkan industri pemula niaga dan dasar baharu yang akan diperkenalkan pertengahan tahun ini juga bakal membantu secara langsung dan tidak langsung industri itu.

Katanya, Malaysia mempunyai ekosistem syarikat pemula niaga yang baik dan banyak antara mereka mempunyai idea yang boleh ditingkatkan.

“Namun permasalahan yang timbul ketika ini adalah bagaimana kita boleh membantu mereka dari segi bantuan teknikal dan kewangan, kerana kebanyakannya mempunyai idea tetapi kekurangan pengetahuan dan keupayaan dari beberapa faktor. Lantaran itu kerajaan perlu memberi penekanan dan fokus kepada industri ini.

“Malah kami juga memerlukan lebih banyak pembabitan swasta dan pemodal teroka yang membantu menerima idea ini sebelum mengkaji dan memberikan bantuan yang sewajarnya.

“Kerjasama antara kerajaan dan swasta sangat diperlukan dalam meningkatkan ekosistem industri pemula niaga,” katanya selepas melancarkan Program Pembangunan Usaha Niaga HeiTech di sini, hari ini.

Program Pembangunan Usaha Niaga HeiTech adalah inisiatif HeiTech Padu Bhd (HeiTech) bagi membantu syarikat pemula niaga dari segi bantuan teknikal dan kewangan.

Program itu menyasarkan syarikat pemula niaga yang terbabit dalam pembangunan penyelesaian inovatif dalam bidang perkhidmatan kewangan, sekuriti, pendidikan dan kesihatan.

Keutamaan juga diberikan kepada syarikat yang ingin mengadaptasi teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI), analisis Data Raya dan blockchain.

Sementara itu, Presiden HeiTech, Datuk Seri Mohd Hilmey Mohd Taib, berkata pihaknya mengalukan syarikat pemula niaga menyertai program itu bagi meningkatkan kemampuan mereka.

Beliau berkata, HeiTech akan memberikan bantuan sokongan dari segi teknikal dan analisis sesuatu idea syarikat pemula niaga itu selain membantu dari mencari pelabur dalam membiayai dari sudut kewangan.

“Kami membantu syarikat pemula niaga mempercepatkan kemasukan penyelesaian mereka ke dalam pasaran. Selain itu, kami juga sentiasa mencari peluang membantu kerajaan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan memperkenalkan penyelesaian berinovasi.

“Ekosistem pemula niaga yang kukuh penting dalam membantu perkembangan RI4. Ini kerana revolusi industri perlu bergerak pantas.

“Kumpulan tidak meletakkan sebarang sasaran dan peruntukan kerana apa penting bagi kami adalah membantu peningkatan ekosistem pemula niaga,” katanya.

Ditanya mengenai prestasi kumpulan bagi tahun ini pula, Mohd Hilmey berkata, pihaknya optimis tahun kewangan 2019 akan lebih baik dari tahun kewangan sebelumnya.

Ini kerana, katanya berdasarkan kontrak dan nilai kerja segmen perniagaan utamanya dalam bidang teknologi maklumat terutamanya berkaitan integrasi sistem dan pembangunan aplikasi, penyelesaian infrastruktur ICT, perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan pengkomputeran awam.

Kumpulan juga pada bulan ini menerima kontrak sebanyak RM33.18 juta daripada Kementerian Kesihatan untuk menyediakan bekalan, pemasangan dan pentauliahan Sistem Maklumat Penjagaan Kritikal di unit rawatan rapi 11 hospital kerajaan.

Berita Harian X