Selasa, 22 Januari 2019 | 8:28am
PENGARAH Pemasaran Legoland Malaysia Resort, Thila Munusamy. - Foto Shawal Azani
PENGARAH Pemasaran Legoland Malaysia Resort, Thila Munusamy. - Foto Shawal Azani

Sea Life Malaysia Legoland dibuka April

NEW DELHI: Sea Life Malaysia, sebuah tarikan kehidupan marin di Legoland Malaysia Resort di Johor, sedang dipromosikan kepada pelancong asing menjelang pembukaannya pada April.

“Kami merancang untuk pembukaan pada April tahun ini. Dengan pembukaan Sea Life, kami akan mempunyai taman tema keluarga dan destinasi kawasan peranginan yang lengkap,” kata Pengarah Pemasaran Legoland Malaysia Resort, Thila Munusamy, kepada BERNAMA.

Akuarium interaktif dua tingkat berukuran 2,123 meter persegi itu akan menempatkan lebih daripada 25 tangki dengan pelbagai haiwan laut.

Legoland mempunyai tarikan lain seperti taman tema, hotel dan taman air.

Legoland Malaysia Resort memasarkan kelebihan akses dan produknya ke dalam pasaran utama seperti China, Korea Selatan, Indonesia, Thailand, Filipina, India, Jepun dan Australia.

“Lokasi kami di Johor amat strategik untuk menarik pelancong asing kerana mempunyai kelebihan sambungan lapangan terbang Kuala Lumpur dan Changi,” kata Thila.

Tarikan terbaharu itu diperkenalkan semasa Pameran Perdagangan South Asia Travel and Tourism Exchange di India minggu lalu.

“Kami melihat India sebagai pasaran besar yang boleh dikembangkan," kata Thila. - BERNAMA

Berita Harian X