Jumaat, 21 Disember 2018 | 5:51pm
ANTHONY Loke
ANTHONY Loke

Sektor pengangkutan alami perubahan besar pada 2018

KUALA LUMPUR: Sektor pengangkutan awam tempatan melalui perubahan yang besar pada 2018 apabila menjadi satu daripada bidang sasaran utama yang telah dikenal pasti oleh kerajaan baharu untuk ‘diperbaharui’.

Banyak projek mega pengangkutan yang dimulakan oleh kerajaan sebelum ini sama ada ditangguhkan atau dinilai semula selepas Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara daripada Barisan Nasional susulan kemenangan bersejarah mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei.

Ia, antara lainnya, termasuklah projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Malaysia-Singapura, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dan Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT).

Ketika rundingan dalam kalangan pihak-pihak berkaitan masih berjalan, ECRL adalah satu-satunya projek mega yang masa depannya masih lagi tidak pasti, manakala yang lain telah ditangguhkan apabila Putrajaya menyatakan ia kekurangan dana untuk meneruskan projek itu mengikut tarikh asal yang dicadangkan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke baru-baru ini berkata projek ECRL, laluan kereta api yang menghubungkan Pelabuhan Klang di Selat Melaka ke Pengkalan Kubor di Kelantan, masih tertakluk kepada kajian semula oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Masih belum ada kata putus akhir lagi, kerana mereka masih melihat kepada faktor-faktor seperti kos dan implikasi lain.

“Buat masa sekarang, kita hanya perlu menunggu kajian semula itu,” beliau dipetik sebagai berkata dalam satu laporan.

Bagi MRT 3, kerajaan masih belum mengenal pasti masa yang sesuai untuk memulakan projek tersebut disebabkan kekangan kewangan dan malahan kos projek MRT 2 telah dikurangkan kepada RM30.53 bilion daripada RM56.93 bilion menerusi pengurangan bilangan stesen yang akan dibina daripada rancangan asal 35 kepada 33, serta kos bagi bahagian bawah tanah.

Berdasarkan kepada perangkaan, Laluan 1 MRT yang sedia ada merekodkan 146,842 penumpang daripada kapasiti 450,000 antara Januari dan Mei tahun ini.

Loke berkata, penangguhan projek MRT 3 memberikan peluang kepada kerajaan untuk menyemak semula keutamaan belanjawannya seperti memberi tumpuan menambah baik perkhidmatan bas dan pembangunan prasarana di seluruh negara.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan tidak berhasrat untuk memansuhkan perkhidmatan bas pengantara MRT buat masa sekarang, sebaliknya ia merancang menyepadukannya dengan perkhidmatan bas lain, serta melancarkan pas bulanan pada tahun depan.

Beliau melihat keperluan untuk lebih banyak melabur dalam pengangkutan awam dan penyepaduan MRT dengan sistem bas transit bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik di kawasan berdekatan stesen.

Bagaimanapun, kekurangan sistem pengangkutan awam yang lancar merupakan satu masalah berterusan di bandar-bandar besar di seluruh negara dan bukan hanya terhad di Lembah Klang sahaja.

Justeru, satu kaedah lebih praktikal untuk menambah baik pengangkutan awam di kawasan-kawasan ini adalah dengan menyediakan lebih banyak perkhidmatan bas.

Mengenai pas perjalanan tanpa had berjumlah RM100 bagi semua perkhidmatan kereta api seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, ia hanya boleh dibeli oleh rakyat Malaysia menerusi MyKad dan MyTentera bagi memastikan hanya rakyat Malaysia yang mendapat manfaat daripadanya.

Bagi perkhidmatan e-hailing, kerajaan mengumumkan bahawa penyedia perkhidmatan akan dikawal selia di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017.

Bermula 12 Julai, semua syarikat e-hailing perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai perniagaan pengantaraan dan membayar yuran bulanan RM115 seperti pemandu teksi.

Berikutan aduan daripada pemandu teksi dan pemandu e-hailing, SPAD telah merangka terma dan syarat yang terpakai kepada perniagaan pengantaraan dan pemandu e-hailing.

Langkah itu juga sejajar dengan industri teksi yang melibatkan syarat-syarat untuk memohon lesen, kenderaan, kelayakan pemandu dan operasi.

Susulan penggabungan Grab dan Uber pada Mac, kerajaan juga akan mengkaji semula sebarang elemen monopoli dalam perkhidmatan e-hailing menerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia.

Mengulas mengenai sektor pengangkutan awam, Penganalis Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd Adam Mohamed Rahim berkata penyiapan Laluan 1 MRT dan lanjutan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) telah memberi kesan kepada pertumbuhan trafik di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuh Raya SPRINT.

Ini dicerminkan menerusi pengurangan hasil tol yang dilaporkan oleh pengendali lebuh raya Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (LITRAK) dalam separuh pertama tahun ini yang kurang 1.85 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Kami merasakan bahawa cadangan subsidi petrol RON95 bagi pemilik kereta dengan kapasiti enjin 1,500 cc dan ke bawah, yang dibentangkan semasa Belanjawan 2019, boleh mendorong orang untuk beralih memilih menggunakan MRT dan LRT dan justeru itu, mengehadkan kemampatan pertumbuhan trafik jalan raya,” katanya kepada Bernama.

Firma penyelidikan itu berpendapat pas tanpa had 30 hari bagi kereta api dan bas Rapid itu akan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, terutamanya di Lembah Klang.

“Dengan mengambil kira ini, kami mengunjurkan kenaikan hanya 0.3 peratus dan 1.5 peratus tahun ke tahun dalam kuantiti trafik bagi LDP dan SPRINT dan ini adalah berdasarkan aliran masuk pemain penghantaran barang berikutan peningkatan aktiviti e-dagang terutamanya di Lembah Klang,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X