Isnin, 17 Disember 2018 | 4:42pm
NAIB Presiden Pembangunan Industrinya, Hanisofian Alias (tengah) hadir pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara HDC, pengeluar produk tenusu halal berpangkalan di Denmark, ARLA Foods amba (Arla) dan penasihat halal Arla, ARK Advantage di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Mahzir Mat Isa
NAIB Presiden Pembangunan Industrinya, Hanisofian Alias (tengah) hadir pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara HDC, pengeluar produk tenusu halal berpangkalan di Denmark, ARLA Foods amba (Arla) dan penasihat halal Arla, ARK Advantage di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Mahzir Mat Isa

Eksport halal Malaysia dijangka RM50 bilion menjelang 2020

PETALING JAYA: Pasaran eksport industri halal tempatan diunjur berkembang kepada RM50 bilion menjelang 2020, menurut Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

Naib Presiden Pembangunan Industrinya, Hanisofian Alias, berkata tahun lalu eksport produk halal negara bernilai RM43 bilion dan tahun ini saiznya dijangka naik sekitar 5.0 peratus.

“Bagaimanapun, dengan penambahan penduduk Islam dan penerimaan produk halal dalam kalangan bukan Islam, kita optimis ia akan naik sedikit berbanding sasaran awal.

“Saiz pasaran halal global pula kita jangka akan berkembang tiga kali ganda pada 2025 berbanding AS$1.2 trilion pada 2010,” katanya ketika menandatangani perjanjian kerjasama antara HDC, pengeluar produk tenusu halal berpangkalan di Denmark, ARLA Foods amba (Arla) dan penasihat halal Arla, ARK Advantage di sini, hari ini.

Kerjasama itu bertujuan meningkatkan keupayaan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini dalam menghasilkan lebih banyak produk halal yang mempunyai nilai eksport.

Menerusi kerjasama itu, HDC akan menyediakan nasihat tenaga pakar dan latihan halal serta khidmat konsultansi yang diperlukan oleh Arla Foods dan ARK.

Rantau Asia Tenggara kekal sebagai pasaran terpenting bagi Arla di mana pada 2017, nilai eksport Arla ke Malaysia bernilai lebih RM30 juta.

Mengulas lanjut, Hanisofian berkata, HDC menganggarkan peningkatan pengeksport PKS kepada 1,600 pada 2020 berbanding 1,400 PKS ketika ini.

“Dan kita yakin, mungkin kita dapat capai lebih 1,600 PKS itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu peserta industri PKS menumpukan bidang yang belum diterokai sepenuhnya iaitu produk bahan ramuan terutama produk berasaskan minyak sawit.

“Ketika ini, majoriti PKS menceburkan diri dalam perniagaan makanan dan minuman (F4B), sektor ini terlampau banyak saingan, maka kita mahu PKS mengusahakan sesuatu yang mempunyai nilai tambah serta mempunyai nilai eskport,” katanya.

Berita Harian X