Isnin, 10 Disember 2018 | 1:27pm
 Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Datuk Othman Semail. Foto NSTP/ NURUL SHAFINA JEMENON
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Datuk Othman Semail. Foto NSTP/ NURUL SHAFINA JEMENON

Perakaunan akruan tingkat pengurusan kewangan sektor awam

KUALA LUMPUR: Perakaunan akruan adalah penting untuk meningkatkan pengurusan kewangan dalam sektor awam demi menjamin ketelusan dan tahap tanggungjawab, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir.

Beliau berkata, ia bergantung kepada ketepatan dan integriti maklumat kewangan dan laporan kewangan yang terbabit, dengan kunci utamanya adalah perubahan daripada berdasarkan tunai diubah suai kepada perakaunan berasaskan akruan.

“Perakaunan akruan memupuk kebolehpercayaan dan pembuatan keputusan yang lebih baik dengan menyediakan maklumat mengenai bagaimana kerajaan memberikan perkhidmatan kepada komponen yang terbabit dalam cara yang efektif dan berkesan.

“Selain itu, ia juga menyediakan maklumat mengenai sumber yang sedia ada bagi perbelanjaan di masa depan dan apa syarat atau had yang perlu dipatuhi.

“Ia juga membantu memberi jawapan kepada sama ada kerajaan berupaya untuk menyediakan perkhidmatan atau tidak berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam ucaptama yang dibaca Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Datuk Othman Semail pada Persidangan Pengurusan Kewangan Sektor Awam 2018, di sini, hari ini.

Persidangan anjuran Institut Akauntan Malaysia (MIA) dengan tema Mendukung Amanah dan Akauntabiliti berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Objektif penganjuran persidangan berkenaan adalah untuk memberi tumpuan kepada pembangunan terkini dalam pengurusan kewangan sektor awam serta menggabungkan kedua-dua kandungan global dan tempatan.

Persidangan itu membariskan seramai 25 penceramah yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perakaunan dan sektor awam.

Mengulas lanjut, Ahmad Badri berkata akauntan kerajaan juga perlu mahir dengan teknologi terutamanya dalam automasi dan kecerdasan buatan (AI), blockchain, pengkomputeran awan dan keselamatan siber serta analisis data (ABCD), ketika negara beralih kepada ekonomi digital dan syarikat mula menerima pakai Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0).

“Pembinaan kecekapan adalah kritikal kerana peralihan kepada perakaunan akruan dan peningkatan pengurusan kewangan sektor awam memerlukan latihan berteraskan kemahiran bagi akauntan profesional.

“Ketika negara beralih ke arah ekonomi yang dipacu oleh teknologi, automasi dan inovasi, akauntan sektor awam juga akan memerlukan kemahiran pemikiran yang lebih tinggi bagi melengkapkan mereka dengan peranan bukan rutin dan bernilai tinggi.

“Ia amat relevan kepada akauntan kerana mereka akan dapat memantapkan lagi kemahiran mereka dalam membuat keputusan, analisis dan menyelesaikan masalah dan komunikasi, disokong oleh integriti tanpa kompromi dan keraguan yang sihat,” katanya.

Berita Harian X