Khamis, 15 November 2018 | 4:07pm
PESAWAT Airbus A320 IndiGo tiba di klia2, awal pagi ini. - Foto Ayisy Yusof
PESAWAT Airbus A320 IndiGo tiba di klia2, awal pagi ini. - Foto Ayisy Yusof

Penerbangan sulung IndiGo tiba di klia2

SEPANG: Syarikat penerbangan kos rendah terbesar India, IndiGo menjadi syarikat penerbangan ke-59 beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan penerbangan sulung tiba di klia2 awal pagi ini.

Kuala Lumpur (KL) adalah destinasi antarabangsa ke-12 IndiGo selepas terbang dari Delhi, India, yang membawa 180 penumpang menerusi pesawat Airbus A320.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin, berkata KLIA akan terus meningkatkan hubungan dan meletakkan Malaysia sebagai hab pilihan global.

"India adalah antara pasaran destinasi sasaran kami dalam meningkatkan hubungan di KLIA. Dalam ramalan trafiknya bagi 2017 hingga 2040, Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa mengunjurkan India akan menjadi negara kedua paling pesat berkembang di dunia dengan trafik penumpang pada 7.5 peratus,” katanya selepas menyambut penerbangan sulung IndiGo di klia2 di sini, hari ini.

Raja Azmi berkata, MAHB berjaya meningkatkan perhubungan di KLIA, selepas bekerjasama dengan Pelancongan Malaysia menerusi Program Pembangunan Pelancongan Bersama (JITDP).

Beliau berkata, JITDP akan mempunyai dana gabungan sebanyak RM15 juta dengan RM7.5 juta daripadanya disumbangkan oleh MAHB.

Penerima manfaat termasuk syarikat penerbangan, pengendali pelancongan, penyewa, syarikat pengurusan perjalanan dan agensi pelancongan.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata klia2 menyaksikan pertumbuhan luar biasa dengan 6.9 peratus penumpang pada Oktober 2018 untuk kitaran dua bulan terakhir.

"India sentiasa menjadi pasaran yang menarik kepada syarikat penerbangan Malaysia. Malaysia menerima lebih 1.4 juta penumpang masuk dari India melalui syarikat penerbangan tempatan kami pada 2017, mencatatkan pertumbuhan 13.5 peratus daripada 2016," katanya.

Siew Fook mengharapkan pertumbuhan berterusan penerbangan Malaysia dan percaya bahawa penambahan syarikat penerbangan terbesar India kepada keluarga KUL akan membantu menyumbang kepada pengukuhan lapangan terbang dan kedudukan Malaysia sebagai hab yang kukuh di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif IndiGo, William Boulter, berkata syarikat penerbangan itu akan mengendalikan penerbangan harian tanpa henti antara Kuala Lumpur-Bengaluru dan Kuala Lumpur-Delhi, berkuatkuasa 15 November.

"Malaysia menyediakan pakej lengkap untuk pelancong perniagaan, percutian dan segmen mesyuarat dan persidangan.

"Kami melihat potensi besar di laluan India-Malaysia disebabkan hubungan budaya, perniagaan dan pelancongan yang luas antara kedua-dua negara," katanya.

Boulter berkata, IndiGo telah menempuh 12 tahun operasi yang berjaya di pasaran India dan menambah KL ke rangkaiannya akan terus meningkatkan hubungan serantau.

"Kami akan terus memberikan perkhidmatan terbaik dan tambang murah kepada pelanggan kami, seperti biasa.

"IndiGo kini mengendalikan lebih 1,300 penerbangan harian dan menghubungkan 49 destinasi domestik serta 13 destinasi antarabangsa dengan 195 pesawat Airbus A320 dan 12 ATR,” katanya.

Berita Harian X