Jumaat, 2 November 2018 | 4:45pm

Kerajaan tekad capai kemakmuran lebih baik

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2019 memperlihatkan kerajaan bertekad melaksanakan langkah untuk menangani defisit kepercayaan terhadap kerajaan, mempromosikan keusahawanan dan mensejahterakan rakyat.

Strategi yang dilakarkan dalam belanjawan itu bakal meletakkan negara ini dalam landasan kukuh demi mencapai objektif kebebasan, keadilan, keharmonian, keamanan dan kemakmuran yang lebih baik dalam Malaysia baharu.

Ekonomi Malaysia terus berkembang pada separuh pertama 2018, meskipun terdapat beberapa cabaran dalam ekonomi domestik dan ketidaktentuan luaran.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat 4.9 peratus dalam tempoh separuh pertama 2018 dan dijangka mencatatkan 4.8 peratus pada 2018 dan 4.9 peratus pada 2019, disokong permintaan domestik kukuh dan sektor luaran yang menggalakkan.

Walaupun ekonomi dijangka berkembang, ketidaktentuan sektor luaran dan cabaran domestik boleh menjadi risiko kepada prospek pertumbuhan.

Dalam memulihkan semula keyakinan terhadap kerajaan, Belanjawan 2019 memperlihatkan kerajaan akan memperkenalkan beberapa langkah bagi memperkukuh tadbir urus, memperluas asas hasil negara, menambah baik pengurusan fiskal dan perolehan kerajaan serta menyusun semula peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Di samping itu, kementerian dan agensi akan diperkemaskan bagi mengelak pertindihan peranan dan fungsi.

Bagi menggalakkan keusahawanan dan pembabitan sektor swasta dalam kegiatan ekonomi dan pembangunan secara keseluruhan, Dasar Persyarikatan Malaysia akan diperkasakan, yang mana pelaksanaan dasar itu dijangka mencetuskan versi baharu kerjasama awam swasta (PPP) untuk menggalakkan pelaburan dan keusahawanan dalam negara.

Dalam aspek itu, pendekatan tukar ganti tanah di bawah PPP akan disemak semula, iaitu memisahkan penjualan tanah daripada pembangunan tanah, yang mana penjualan dan pembangunan tanah akan dilakukan secara tender terbuka.

Bagi mengurangkan pembabitan kerajaan dalam menjalankan perniagaan, kerajaan bercadang untuk mengurangkan pembabitan dalam aktiviti perniagaan komersial.

Usaha juga akan dipertingkatkan untuk meluaskan pasaran eksport Malaysia, justeru, ekonomi Malaysia mesti berasaskan kepada tahap kecekapan dan teknologi paling tinggi.

Firma, terutama syarikat kecil dan sederhana (PKS) perlu berhenti daripada berasa terlalu selesa dan mengejar keuntungan jangka pendek serta kurang melaksanakan pelaburan untuk masa depan.

Kerajaan juga akan terus menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) jangka panjang dalam pelaburan hijau, sementara pertumbuhan ekonomi pada masa depan akan dipacu sektor berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), internet untuk segala-galanya (IoT), pengkomputeran awan dan analisis data raya yang menggariskan potensi ekonomi digital bagi memastikan peralihan Malaysia kepada negara maju dan inklusif.

Berita Harian X