Rabu, 3 Oktober 2018 | 9:47pm

Pertumbuhan eksport Malaysia susut pada Ogos

KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menjangka pertumbuhan eksport Malaysia susut kepada 3.3 peratus pada Ogos berbanding 9.4 peratus pada Julai, berikutan lebih banyak sentimen berhati-hati susulan ketegangan perdagangan yang meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Dalam kenyataan hari ini, katanya langkah AS mengenakan tarif import pusingan kedua ke atas China pada 23 Ogos turut memberi kesan kepada Malaysia berikutan impaknya terhadap sektor semikonduktor.

“Risiko kepada momentum perdagangan semakin meningkat apabila AS mengenakan tarif untuk pusingan ketiga ke atas import China bernilai AS$200 bilion pada 24 September.

“Kadar dijangka meningkat kepada 25 peratus pada Januari 2019 daripada 10 peratus,” menurut RAM Ratings, sambil menambah produk elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang 36.7 peratus daripada jumlah eksport Malaysia pada tahun lalu.

“Komponen elektronik di bawah tarif AS dan China, masing-masing menyumbang 6.8 peratus dan 16.4 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia,” katanya.

Walaupun momentum perdagangan global dijangka lembap dalam jangka masa pendek berikutan perang perdagangan, pengeluar di rantau ini berpeluang untuk meraih manfaat daripada pengalihan permintaan, menurut agensi penarafan itu.

“Bagi Malaysia, potensi keuntungan terbesar adalah daripada kesan pengalihan perdagangan sektor E&E yang dapat meningkatkan permintaan eksport secara keseluruhan.

“Malaysia adalah sebuah negara yang amat kompetitif dari segi kelebihan perbandingan untuk mendapat manfaat daripada pengalihan perdagangan daripada pusingan kedua tarif oleh AS ke atas China, yang memberi lebih tumpuan kepada semikonduktor,” katanya.

– BERNAMA

Berita Harian X