Khamis, 20 September 2018 | 11:48am
Ketua Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass.
Ketua Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass.

Inflasi September dijangka meningkat pasca SST

KUALA LUMPUR: AmBank Research menjangkakan kenaikan kadar inflasi pada September 2018 berikutan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Ketua Ekonominya, Dr Anthony Dass, berkata kenaikan itu bagaimanapun dijangka terhad kerana sebanyak 5,443 barangan dikecualikan SST berbanding 544 barangan yang dikecualikan cukai ketika perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)

Anthony berkata, kadar inflasi hanya meningkat sebanyak 0.2 peratus tahun ke tahun pada Ogos yang membawa purata tahunan kepada 1.3 peratus tahun ke tahun.

“Angka inflasi pada Ogos dan setengah tahun pertama rendah disebabkan oleh kesan berterusan daripada penghapusan GST pada Jun, kesan asas cukai, kos pengangkutan yang berkurangan apabila RON95, RON 97 dan diesel yang masing-masing meningkat sebanyak 3.8 peratus, 10.5 peratus dan 6.9 peratus tahun ke tahun.

“Begitu juga dengan pengukuhan ringgit berdasarkan perbandingan tahunan yang naik 4.5 peratus pada Ogos walaupun berdasarkan bulan ke bulan ia jatuh sebanyak 1.1 peratus selain tekanan permintaan yang lemah,” katanya dalam satu kenyataan.

Anthony berkata, kadar peningkatan harga juga bergantung kepada pengeluar dan perkhidmatan melaksanakan perubahan serta peratusan cukai yang diberikan kepada pengguna.

Beliau berkata, pihaknya mengulangi jangkaan purata inflasi tahunan pada tahap 1.5 peratus, dengan tahap tertinggi pada 1.8 peratus.

Katanya, AmBank Research menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.

Berita Harian X