Rabu, 19 September 2018 | 5:11pm

Pinjaman dijangka berkembang sederhana - Moody's

KUALA LUMPUR: Moody's Investors Service menyemak semula unjuran pertumbuhan pinjaman kepada lima hingga enam peratus pada tahun ini berikutan sentimen sektor swasta yang sederhana.

Agensi penarafan itu sebelum ini meletakkan pertumbuhan pinjaman bank bagi 2018 adalah sekitar enam hingga tujuh peratus.

Naib Presiden dan Penganalisis Kanannya, Simon Chen, berkata sektor swasta dijangka mengambil pendekatan tunggu dan lihat serta menunggu pengumuman baharu pada Bajet 2019 yang dijangka pada November ini.

"Sentimen sektor swasta dijangka sederhana kerana masih menunggu penjelasan lanjut mengenai polisi baharu yang akan diumumkan dalam bajet nanti. Selagi keadaan itu berterusan (ketidaktentuan), pertumbuhan dijangka kekal sederhana," katanya pada taklimat media berkaitan unjuran industri, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Penganalisis Kanan/Naib Presiden Kumpulan Risiko Moody's, Anushka Shah; Pengarah Urusan Bersekutu Kumpulan Institusi Kewangan London, Henry MacNevin dan Pegawai Kredit Kanan/Naib Presiden Kumpulan Institusi Kewangan, Nitish Bhojnagarwala.

Chen berkata, sebelum ini pihaknya lebih optimistik mengenai kadar pemulihan pertumbuhan pinjaman, namun memandangkan tempoh masa semakin menghampiri penghujung tahun, pihaknya perlu lebih realistik.

Katanya, meskipun pertumbuhan pinjaman adalah sederhana, namun ia masih memberi keuntungan kepada bank.

"Pertumbuhan pinjaman di Malaysia akan mengalami pemulihan lebih pantas dan kami sedang mengkaji penilaian prospek pertumbuhannya.

"Terdapat keperluan penjelasan dasar bagi perniagaan di negara ini dan peniaga mengambil pendekatan untuk berhati-hati mengenai pertumbuhan perniagaan mereka," katanya yang turut menambah prospek bagi bank di ASEAN adalah stabil didorong oleh persekitaran operasi yang kukuh meskipun berdepan ketegangan perdagangan dan pengetatan kewangan.

Moody's Investors Service juga turut mengekalkan prospek stabil bagi sistem perbankan Malaysia tahun ini berikutan keadaan operasi yang mantap di  negara ini.

Chen berkata, unjuran berkenaan adalah berdasarkan asas kestabilan bank  Malaysia, trend kualiti aset yang stabil serta penampan modal dan kecairan yang kukuh.

Menyentuh mengenai perbankan Islam, Chen percaya perbankan Islam di rantau ini akan terus kukuh, disokong oleh pertumbuhan penduduk yang meningkat dan asas sistem perbankan yang teguh."Sokongan peraturan juga akan terus mendorong pertumbuhan industri.

“Bagi perbankan Islam di Malaysia, rangka kerja Perantaraan Berasaskan Nilai (VBI) akan memacu pertumbuhan perniagaan dan kredit," katanya. 

Mengulas mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Moody's  mengesahkan ia kekal penarafan A3 dengan prestasi baik pada tahun ini.

Bagaimanapun Anushka berkata,  pertumbuhan KDNK negara dijangka perlahan pada 2019.

"Hutang negara yang tinggi dilihat mampu mengekang kredit negara," katanya.

Berita Harian X