Jumaat, 14 September 2018 | 4:53pm
PENGERUSI PETRONAS, Datuk Ahmad Nizam Salleh (empat dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Dr Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim (lima dari kanan) bergambar bersama orang ramai pada majlis pelancaran Festival Sains di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PENGERUSI PETRONAS, Datuk Ahmad Nizam Salleh (empat dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Dr Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim (lima dari kanan) bergambar bersama orang ramai pada majlis pelancaran Festival Sains di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Festival Sains tahun ini adalah terbesar

KUALA LUMPUR: Petrosains Sdn Bhd julung kali menganjurkan Festival Sains terbesar di negara ini dengan 54 rakan kerjasama tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim, berkata acara tahunan itu masuk kali ke-5 dianjurkan dan tahun ini adalah yang terbesar.

Katanya, Festival Sains itu juga adalah yang pertama kali dianjurkan di lokasi lain di seluruh Malaysia iaitu di Petrosains PlaySmart Kuantan dan Petrosains PlaySmart Johor.

“Festival Sains Petrosains 2018 ini bermula hari ini hingga 16 September di Kuala Lumpur City Centre.

“Kami berharap dengan membawa teknologi seperti humanoid dan robot, kami dapat membantu pengunjung berfikir dan bertanya mengenai masa depan dan sama ada mesin akan mengambil alih peranan manusia dalam kehidupan kita.

“Kami juga berharap dapat mempamerkan beberapa ciptaan dan penemuan terkini pada masa ini dan dalam masa terdekat,” katanya di majlis pelancaran Festival Sains di sini, hari ini.

Hadir merasmikannya ialah Pengerusi PETRONAS, Datuk Ahmad Nizam Salleh.

Festival edisi kelima pada tahun ini, menyediakan platform bersepadu apabila sektor awam dan swasta, penggiat utama industri dan ahli akademik bekerjasama untuk memberi inspirasi dan memupuk penghargaan terhadap sains dalam masyarakat.

Festival itu turut menampilkan program lain seperti ceramah, pameran dan aktiviti berteraskan teknologi mengenai topik penjagaan kesihatan, pendidikan, komunikasi dan masa depan alam sekitar.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.sciencefestival.my.

Berita Harian X