Ahad, 26 Ogos 2018 | 4:16pm
WAKIL lapan syarikat tempatan yang menyertai Ekspo Makanan Laut dan Teknologi Antarabangsa Jepun (JISTE) 2018 di Tokyo.
WAKIL lapan syarikat tempatan yang menyertai Ekspo Makanan Laut dan Teknologi Antarabangsa Jepun (JISTE) 2018 di Tokyo.

Makanan laut Malaysia sedia penuhi permintaan Olimpik Tokyo

TOKYO: Hasil dan produk makanan laut dari Malaysia mendapat permintaan tinggi di Jepun dan dijangka nilai eksport meningkat kepada RM14.4 bilion menjelang temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo pada 2020.

Peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding RM12.9 bilion (348.03 bilion yen) pada 2017 turut disumbang faktor kualiti menepati piawaian ditetapkan dan status halal produk yang diakui semua pihak.

Kelebihan Malaysia itu bakal memberi saingan kepada negara utama pengeksport produk makanan laut bagi pasaran Jepun iaitu China, Amerika Syarikat, Chile dan Thailand.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Raja Kahalid Raja Ariffin, berkata pengeluaran hasil dan produk laut Jepun tidak mencukupi bagi menampung keperluan penduduk dan perlu mengimport lapan kali ganda pengeluaran dari negara lain.

Beliau berkata, Malaysia menawarkan kepelbagaian hasil laut dengan permintaan tinggi membabitkan tuna, talapia, udang, sotong dan sotong kurita selain produk siap diproses termasuk sedia dimakan, dipanas atau dimasak antaranya bebola ikan dan nuget.

"Pasaran makanan laut Malaysia bersedia memenuhi permintaan Jepun dan penyertaan kita dalam Ekspo Makanan Laut dan Teknologi Antarabangsa Jepun (JISTE) 2018 menerusi lapan syarikat tempatan yang sangat berpotensi ini diharap dapat mengukuhkan kedudukan pasaran produk hasil makanan laut Malaysia di Jepun.

"Dijangka nilai eksport kita akan meningkat sehingga 2020 berikutan penganjuran Temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo, yang menyaksikan pertambahan permintaan bekalan daripada pengusaha restoran, hotel dan pusat penginapan delegasi," katanya selepas majlis perasmian Pavilion Malaysia pada JISTE 2018 di Tokyo Big Sight, di Tokyo.

Majlis perasmian disempurnakan Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris.

Turut hadir, Kaunselor Pertanian, Pejabat Penasihat Pertanian di Jepun, Mohd Taqiuddin Zakaria.

Ekspo pameran makanan laut terbesar di rantau Asia Timur dengan 1,400 pempamer, berlangsung selama tiga hari berakhir Jumaat lalu, dikunjungi lebih 35,000 pengunjung domestik dan antarabangsa membabitkan pelbagai pemain industri termasuk pengedar, peruncit, pengusaha hotel dan restoran.

Sementara itu, Mohd Taqiuddin berkata, usaha promosi, pengukuhan akses pasaran dan peningkatan kesedaran terhadap kualiti dan keselamatan produk hasil makanan laut Malaysia di pasaran Jepun sedang giat dilaksanakan.

Beliau berharap pengeluar produk dapat meningkatkan pengeluaran di Malaysia bagi menampung permintaan yang semakin meningkat di Jepun khasnya dan di rantau Asia Timur secara amnya.

"Trend pemakanan yang beralih kepada segmen produk jenis ini dilihat antara faktor utama peningkatan permintaan berlaku di samping memenuhi keperluan pelancong khususnya umat Islam pada temasya sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo, tidak lama lagi," katanya.

Bagi peserta dari Malaysia, yang juga Pengarah Mycuisine Qube Sdn Bhd, Ahyaludin Ab Wahab, berkata peluang menyertai expo tahunan itu membantunya meneroka peluang pasaran ke luar negara.

"Produk kiub perasa makanan jenama Aydeen menepati pasaran di sini kerana mudah digunakan dan menjimatkan masa," katanya.

Berita Harian X