X
Khamis, 16 Ogos 2018 | 4:07pm
MENTERI Kerja Raya Baru Bian (hadapan, lima, kiri) bersama para penerima Anugerah QLASSIC 2018 pada Hari QLASSIC 2018. - Foto BERNAMA
MENTERI Kerja Raya Baru Bian (hadapan, lima, kiri) bersama para penerima Anugerah QLASSIC 2018 pada Hari QLASSIC 2018. - Foto BERNAMA

Qlassic tingkat mutu industri pembinaan negara

KUALA LUMPUR: Kualiti projek pembinaan di negara semakin meningkat apabila pendekatan menggunakan Sistem Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan (Qlassic) mula dilaksanakan.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali, berkata inisiatif berkenaan dianggap sebagai antara komponen penting kepada syarikat pemaju dan kontraktor tempatan mengukuhkan jenama serta mutu kerja.

Beliau berkata, Qlassic berkait rapat dengan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020, di bawah teras strategik pertamanya, iaitu kualiti, keselamatan dan profesionalisme.

“Bagi meneraju perubahan dalam industri pembinaan, kami sentiasa mempergiat usaha untuk menerima maklum balas serta persepsi penggiat sektor ini terhadap inisiatif oleh CIDB.

“CIDB sedia membantu syarikat yang ingin mendapatkan latihan Qlassic kerana tujuan penilaian adalah ingin membantu pemilik projek meningkatkan kualiti pembinaan projek masing-masing.

“Malah, projek yang mendapat skor 80 peratus dan ke atas dilihat terus meningkat sejak ia dilaksanakan dan kami merancang untuk meningkatkan taraf skor ini sebagai usaha mempertingkat kualiti hasil pembinaan bangunan dalam negara," katanya berucap pada majlis pelancaran Hari Qlassic 2018 di sini, hari ini.

Majlis turut menyaksikan CIDB memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) dalam mendapatkan pengiktirafan Qlassic bagi projek yang dilaksanakan oleh bank berkenaan.

Hadir sama ialah Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid.

Qlassic adalah tanda aras kualiti hasil kerja dalam pembinaan bangunan berlandaskan kepada Standard Industri Pembinaan (CIS 7).

Selain melancarkan proses pengawalan kualiti hasil kerja bagi sesebuah projek, Qlassic juga boleh dijadikan sebagai kriteria pematuhan kualiti bagi mengukur prestasi kontraktor.

Mengulas mengenai Hari Qlassic, Ahmad Tajuddin berkata, acara berkenaan adalah platform bagi mengiktiraf kejayaan penggiat industri pembinaan berprestasi tinggi bagi projek yang dilaksanakan.

Katanya, CIDB berharap inisiatif itu dapat menarik lebih banyak agensi kerajaan dan swasta untuk terbabit dan bersama-sama menerajui peningkatan kualiti dalam industri berkenaan.

Tahun ini, sebanyak 37 projek mendapat skor Qlassic melebihi 80 peratus oleh pemaju hartanah seperti Sime Darby Property Bhd, Sunway Medical Centre Sdn Bhd dan Putrajaya Holdings Sdn Bhd.

Berita Harian X