Rabu, 1 Ogos 2018 | 6:48pm
 Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Khairani Mohamed (tengah) dengan wakil dari PINTAR, Universiti DRB-HICOM, KISMEC dan UNITEN selepas majlis menandatangani perjanjian antara agensi di Kompleks Kereta Api Rapi. - Foto Supian Ahmad
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Khairani Mohamed (tengah) dengan wakil dari PINTAR, Universiti DRB-HICOM, KISMEC dan UNITEN selepas majlis menandatangani perjanjian antara agensi di Kompleks Kereta Api Rapi. - Foto Supian Ahmad

Tiga lagi IPT jalin kerjasama dengan PINTAR

PETALING JAYA: Akademi Latihan Rel Antarabangsa Prasarana (PINTAR), berhasrat memberi tumpuan kepada program latihan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dalam industri rel yang dijangka terus berkembang pada masa depan.

Ketuanya, Zaki Mohamed, berkata hasrat itu akan dicapai melalui pelaksanaan lebih banyak kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam menawarkan program kursus dan latihan dalam industri rel.

"Kami melihat langkah ini lebih realistik kerana kami memiliki kepakaran teknikal dan fasiliti terbaik dalam bidang rel manakala, IPT boleh menawarkan platform kepada orang ramai untuk mengikuti pengajian sama ada di peringkat sijil, diploma, kursus jangka pendek atau profesional," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara PINTAR dengan tiga IPT tempatan di sini, hari ini.

PINTAR ialah cabang latihan bagi Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail)

Tiga IPT terbabit ialah Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti DRB-Hicom dan Pusat Pengurusan dan Kemahiran Industri Kedah (Kismec).

Sebelum ini, PINTAR sudah menjalinkan kerjasama seumpama itu dengan tiga pihak lain iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada 2016 dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta Institusi Kejuruteraan Malaysia (IEM) pada 2017.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Khairani Mohamed, berkata kerjasama terbaharu itu penting kerana tenaga mahir dalam industri rel ketika ini masih tidak mencukupi dengan hanya memenuhi satu perempat daripada keseluruhan keperluan industri.

Menurutnya, keperluan dalam bidang berkenaan dijangka meningkat tiga kali ganda terutama dengan projek sedia ada seperti MRT2 dan LRT3 dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Kerjasama ini akan membolehkan Rapid Rail meningkatkan keupayaan modal insan dan mengembangkan idea-idea baharu, pengalaman dengan teknologi yang dibangunkan oleh universiti," katanya.

Melalui kerjasama itu, PINTAR dan Uniten akan membangunkan rel elektrik menggunakan kepakaran tenaga mahir universiti terbabit, manakala kerjasama dengan Universiti DRB-Hicom pula untuk menubuhkan hab latihan PINTAR cawangan pantai timur bagi memenuhi keperluan di negeri terbabit.

Untuk Kismec, perjanjian itu membolehkan penubuhan hab latihan Pintar cawangan utara dan mengoptimumkan sumber dan kemudahan teknologi tinggi yang disediakan di Kismec.

Sehingga kini, PINTAR sudah melahirkan 1,300 tenaga mahir di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sejak program itu diperkenalkan pada 2014.

Berita Harian X