Isnin, 18 Jun 2018 | 11:42am

Tinjauan bank Malaysia kekal stabil: Moody's

KUALA LUMPUR: Moody's Investors Service menjangkakan sistem perbankan di Malaysia akan terus stabil bagi tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

Naib Presiden dan Penganalisis Kanannya, Simon Chen, berkata faktor sokongan utama kepada unjuran stabil itu ialah keadaan makroekonomi yang teguh di dalam dan di luar Malaysia.

Faktor itu, katanya akan mencetuskan persekitaran operasi yang menggalakkan bagi bank-bank di Malaysia dan membantu menstabilkan kualiti aset dan keuntungan mereka.

"Bank-bank Malaysia dilihat mendapat manfaat daripada keadaan makroekonomi yang kuat di dalam dan luar negara, walaupun ketidakpastian dasar menimbulkan risiko.

"Pada masa sama, meskipun kita akan melihat pertumbuhan pinjaman yang lebih cepat, pertumbuhan sedemikian akan kekal pada kadar yang lebih perlahan berbanding pengekalan keuntungan bank, yang akan membawa kepada penampan modal lebih kukuh," katanya agensi penarafan itu dalam satu kenyataan.

Moody's turut mengunjurkan pertumbuhan pinjaman berkembang pada kadar enam hingga tujuh peratus dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 5.4 peratus pada tahun ini.

Mengulas lanjut, Chen berkata, unjuran stabil itu berdasarkan penilaian Moody's dari enam pemacu iaitu persekitaran operasi (stabil); kualiti aset (stabil); modal (bertambah baik); pembiayaan dan kecairan (stabil); keuntungan dan kecekapan (stabil) dan sokongan kerajaan (stabil).

Mengenai persekitaran operasi, Moody's menjelaskan biarpun keadaan makroekonomi akan menjadi kukuh, ketidakpastian dasar akan menimbulkan risiko.

Pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pula, katanya akan meningkatkan penggunaan swasta dan memanfaatkan perniagaan tempatan dalam tempoh terdekat.

"Bagaimanapun, ketidakpastian mengenai perubahan dasar pada masa depan oleh kerajaan baharu akan memberatkan sentimen pelabur dan perniagaan sepanjang tahun ini.

"Kualiti aset bank akan kekal stabil, berikutan keadaan pelonggaran tekanan di kalangan syarikat korporat yang bermasalah dan pertumbuhan kadar hutang isi rumah yang perlahan.

"Penghasilan pinjaman tidak berbayar baharu akan kekal perlahan di tengah-tengah kenaikan kadar faedah sederhana, ketika keuntungan syarikat korporat meningkat manakala pertumbuhan pinjaman rumah berisiko tinggi berkurang," katanya.

Berita Harian X