Khamis, 3 Mei 2018 | 6:08pm
MENTERI Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (dua dari kiri) merasmikan pelancaran GTFS 2.0 di Kudat Golf and Marina Resort, Kudat sambil disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Timbalannya (Tenaga & Teknologi Hijau), Datuk Badriyah Ab Malek serta Ketua Pegawai Operasi Malaysian Green Technology Corporation, Syed Ahmad Syed Mustafa. - Foto Khairull Azry Bidin
MENTERI Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (dua dari kiri) merasmikan pelancaran GTFS 2.0 di Kudat Golf and Marina Resort, Kudat sambil disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Timbalannya (Tenaga & Teknologi Hijau), Datuk Badriyah Ab Malek serta Ketua Pegawai Operasi Malaysian Green Technology Corporation, Syed Ahmad Syed Mustafa. - Foto Khairull Azry Bidin

Sedia dana RM5 bilion kembangkan industri hijau

KUDAT: Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) 2.0 yang dilancarkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, di sini, hari ini menawarkan dana RM5 bilion untuk memacu pertumbuhan industri teknologi hijau dalam tempoh lima tahun sehingga 2022.

Dana itu yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2018 pada Oktober lalu adalah lanjutan daripada skim GTFS yang diperkenalkan pada tahun 2010.

Peruntukan disediakan kerajaan menunjukkan peningkatan daripada RM1.5 bilion ketika mula dilancarkan lapan tahun lalu kepada RM3.5 bilion pada tahun 2012 dan RM3 bilion lagi pada tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan RM10 bilion.

Ongkili berkata, sejak diperkenalkan, GTFS menarik penyertaan 28 institusi kewangan untuk membiayai projek hijau di seluruh negara seperti berkaitan tenaga, industri, bangunan, pengangkutan, air dan sisa.

Beliau berkata, sehingga akhir tahun lalu, RM3.5 bilion pembiayaan diluluskan oleh institusi kewangan untuk menyokong pembangunan 319 projek hijau di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, 37 projek dilaksanakan di Sabah dengan jumlah pembiayaan RM288 juta dan sembilan daripadanya adalah di Kudat membabitkan pembiayaan RM59 juta," katanya pada Majlis Pelancaran GTFS 2.0.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Timbalannya (Tenaga & Teknologi Hijau), Datuk Badriyah Ab Malek.

Ongkili berkata, selain pembiayaan secara konvensional, GTFS 2.0 menawarkan pakej menarik menerusi terbitan bon atau sukuk hijau dengan had maksimum setiap syarikat sebanyak RM300 juta selama 15 tahun bagi syarikat pengeluar dan 10 tahun bagi syarikat pengguna.

Katanya, menerusi GTFS 2.0 satu lagi kategori syarikat ditambah iaitu Syarikat Perkhidmatan Tenaga (ESCOs) dengan RM1 bilion dikhususkan untuk membiayai pelaburan berkaitan cekap tenaga dan Energy Performance Contract (EPC).

"Syarikat dan industri yang berpotensi boleh mendapatkan had pembiayaan sehingga RM25 juta untuk tempoh sehingga lima tahun.

"Skop pembiayaan baharu ini mampu merangsang pertumbuhan pasaran kecekapan tenaga sebagai segmen pertumbuhan ekonomi baharu," katanya.

Menerusi GTFS 2.0, kerajaan menawarkan insentif kewangan yang menarik dengan 60 peratus jaminan kerajaan bagi kos komponen dibiayai institusi kewangan yang mengambil bahagian selain rebat dua peratus setahun bagi keuntungan atau faedah.

Had pembiayaan kewangan bagi kategori syarikat pengeluar dan pengguna iaitu masing-masing RM100 juta dan RM50 juta dikekalkan dalam GTFS 2.0.

Berita Harian X